Hannah Yeoh. Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Kerajaan menawarkan pelepasan cukai sehingga RM1,000 membabitkan pembelian peralatan dan aktiviti 103 jenis sukan ditetapkan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia merupakan salah satu reformasi yang telah diusahakan oleh kementeriannya dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurutnya, pelepasan cukai khas itu boleh digunakan untuk peralatan sukan yang boleh digunakan untuk menyertai kejohanan, gimnasium dan latihan sukan.
“Latihan sukan ini bermaksud pembayar cukai boleh gunakan untuk belajar sukan atau membayar jurulatih dan mereka boleh kumpul resit untuk diri sendiri, pasangan serta anak-anak.
“Bagi tahun 2025, rebat itu diperluaskan kepada ibu bapa pembayar cukai, menggalakkan warga emas amalkan gaya hidup sihat.
“Melalui norma baharu ini, rakyat menjadi lebih sihat seterusnya kerajaan dapat mengurangkan peruntukan rawatan kesihatan,” katanya ditemui selepas menghadiri Sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Segambut 2025 di Taman Tasik Manjalara di sini pada Sabtu.
Katanya, walaupun ada beranggapan had RM1, 000 ditetapkan rendah namun tidak menolak amaun itu akan dipertingkatkan pada masa hadapan.
Ujarnya, ia bergantung kepada maklum balas pengguna melalui data yang dikumpulkan.