SUDAH bertahun-tahun Arsenal dibayangi gelaran sinis ‘Netflix FC’ – pasukan yang seronok ditonton dan penuh drama tetapi rebah ketika klimaks musim.
Namun, prestasi The Gunners ketika ini membuka ruang baharu untuk mereka akhirnya menghapus gelaran itu.
Hakikatnya, tanggapan ‘Netflix FC’ itu lahir daripada realiti pahit tiga musim berturut-turut 2022/23, 2023/24 dan 2024/25 apabila anak buah Mikel Arteta terpaksa berpuas hati sebagai naib juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ketika itu, Arsenal sering tersekat akibat kecederaan pemain utama serta ketiadaan peledak prolifik yang mampu memastikan kemenangan dalam perlawanan-perlawanan penting.
Perit memang perit, tetapi kecewa jauh sekali kerana perjalanan itu turut memperlihatkan perkembangan ketara dalam struktur dan identiti pasukan.
Arsenal kini mendahului carta EPL. Foto Agensi
Kini, kelab yang berpangkalan di utara London itu kelihatan lebih lengkap. Mereka bukan sahaja menang melalui gaya bola sepak yang menarik tetapi juga dengan disiplin, kekentalan mental dan kecerdikan taktikal.
Selepas memperkukuh rekod jaringan, memperkemas sistem pertahanan dan meningkatkan konsistensi keputusan, The Gunners semakin sukar dikategorikan sebagai pasukan yang ‘ghaib’ di penghujung musim.
Kemenangan 3-1 ke atas Bayern Munich dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL) baru-baru ini pula menjadi mercu tanda penting.
Ia bukan hanya memadam trauma lampau tetapi menandakan Arsenal kini mampu menundukkan gergasi yang sebelum ini menjadi penghalang impian Eropah mereka.

(Dari kiri) Piero Hincapie, Riccardo Calafiori, Gabriel Martinelli and Gabriel Magalhaes optimis Arsenal mampu meraih trofi utama musim ini. Foto Agensi
Ketahanan, kematangan taktikal dan variasi serangan yang dipamerkan pada malam itu menunjukkan Arsenal sudah berada dalam kelas berbeza berbanding versi mereka tiga musim lalu.
Selain itu, prestasi Arsenal musim ini juga membuktikan bahawa mereka memiliki semua elemen yang diperlukan untuk bersaing di pentas Eropah.
Kedalaman skuad yang seimbang, kualiti pemain utama serta simpanan yang mampu mengisi kekosongan memberi mereka kelebihan taktikal dan fleksibiliti dalam menghadapi cabaran.
Berdasarkan pemerhatian, kombinasi itu menjadikan peluang Arsenal untuk mara jauh dalam UCL lebih realistik dan meletakkan mereka sebagai pasukan yang wajar diberi perhatian serius.

Kehadiran Viktor Gyokeres, penyerang Sporting Lisbon dan Sweden yang menjaringkan 54 gol daripada 52 perlawanan musim lalu menamatkan pencarian Arsenal di posisi penggempur. Foto Agensi
Dalam EPL pula, Arsenal menunjukkan kematangan yang jarang dilihat sebelum ini bukan sahaja menang dengan gaya permainan cantik, tetapi juga mampu mengurus tekanan dan situasi getir.
Ketahanan mental mereka semakin jelas dan prestasi konsisten ini memberi asas kukuh untuk menamatkan reputasi lama sebagai pasukan drama.
Ya, Arsenal belum mengangkat trofi musim ini tetapi ia berada di landasan tepat untuk berbuat demikian.
Gelaran sinis ‘Netflix FC’ yang selama ini membayangi mereka semakin kelihatan longgar cengkamannya.
Jika ada musim yang membuka ruang terbesar untuk Arsenal menghapus label itu, musim ini adalah saatnya…. ini kali lah!
Ringkasan AI
- Arsenal dibayangi gelaran sinis ‘Netflix FC’ kerana sering gagal pada klimaks musim
- Prestasi meningkat dengan struktur dan identiti pasukan yang berkembang
- Kemenangan 3-1 ke atas Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara tandakan kemajuan
- Memiliki kedalaman skuad dan kualiti pemain utama yang seimbang
- Arsenal menunjukkan ketahanan mental dan kematangan taktikal yang lebih baik






