Peluang Malayan Tigress beraksi di venue keramat Bukit Jalil

Peluang Malayan Tigress beraksi di venue keramat Bukit Jalil


Hannah (berdiri, tengah) ketika melancarkan LWN 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto FB FAM.

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan skuad bola sepak wanita negara wajar diberi peluang merasai aura venue keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk sesi latihan dan perlawanan, sama seperti skuad lelaki.

Beliau berkata, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) diminta untuk menyusun jadual agar Malayan Tigress dapat menggunakan venue itu apabila tiada perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya.

“Selalunya hanya pasukan kebangsaan lelaki dapat bermain di situ tetapi saya telah mengarahkan PSM supaya skuad wanita juga harus diberi peluang,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Liga Wanita Nasional (LWN) 2025 di Kuala Lumpur pada Khamis.

Hannah turut menjelaskan bahawa pengurusan Malayan Tigress yang diketuai Pengerusi Jawantankuasa Bola Sepak Wanita, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob telah berbincang dengan PSM untuk menyusun jadual penggunaan padang.

Beliau berkata, keutamaan fasiliti seperti padang latihan FAM lazimnya diberikan kepada skuad lelaki, namun pendekatan itu sedang dikaji semula bagi memastikan kesaksamaan kepada semua pasukan kebangsaan termasuk wanita.

“Kita giat membina satu lagi padang latihan baharu di Putrajaya dan saya tahu pergerakan ke arah itu berjalan dengan baik,” katanya sambil menegaskan perlunya pelaburan jangka panjang untuk pasukan wanita mencapai potensi sebenar.

Dalam pada itu ketika berucap, Hannah turut menegaskan bahawa LWN bukan sekadar kejohanan domestik, sebaliknya medan utama melahirkan bakat elit bola sepak wanita negara.

“Ini membuktikan bahawa LWN bukan sekadar liga biasa tetapi ia liga yang kompetitif, berkualiti tinggi dan terbukti melahirkan pemain kebangsaan.

“Sebanyak 80 peratus pemain skuad wanita negara hari ini datangnya daripada LWN,” ujarnya.

LWN 2025 bakal disertai lapan kelab dengan setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftar dua pemain import.

Kejohanan itu juga mendapat pengiktirafan apabila menerima suntikan dana RM840,000 menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah pembangunan bola sepak wanita.



Source link

OR

Scroll to Top