Andrew (duduk, tiga kiri) dan Jacky (duduk, dua kanan) pada sidang media penganjuran Kejohanan Badminton Amal SBE Serla di Petaling Jaya pada Isnin. Foto Penganjur.
KEJOHANAN Badminton Amal SBE Serla bakal menawarkan pengalaman menarik buat lebih 200 peserta apabila ia akan berlangsung di venue ikonik Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur yang pernah melahirkan jagoan negara termasuk legenda, Datuk Lee Chong Wei.
Penganjur kejohanan, Andrew Wai mahu memberikan peluang kepada para pemain muda dan peminat badminton untuk merasai pengalaman bermain di gelanggang yang berbeza berbanding venue di dewan.
“Ini kerana stadium itu dilengkapi dengan pendingin hawa, mempunyai arah angin yang terkawal dan sistem pencahayaan yang berbeza. Ia memberikan suasana yang tidak sama berbanding gelanggang badminton lain yang biasa mereka gunakan.
“Selain itu, stadium ini juga merupakan lokasi rasmi untuk sesi latihan dan pemilihan skuad badminton kebangsaan sebelum ini.
“Ini adalah kali kedua Stadium Juara dibuka untuk penganjuran kejohanan badminton oleh pihak luar selain daripada persatuan. Jadi, ia adalah satu pengalaman yang sangat unik untuk orang awam,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya pada Isnin.
Turut hadir Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Elektrik dan Elektronik Malaysia, Datuk Jacky Chen.
Sebagai rekod sejak era 1990-an hingga awal tahun 2000 Stadium Juara menjadi lokasi utama latihan para pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ia berpindah ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang terletak bersebelahan.
Andrew menjelaskan bahawa kejohanan yang menawarkan lapan kategori tersebut dijadual berlangsung pada Ahad ini bermula jam 8 pagi dengan hadiah wang tunai yang ditawarkan berjumlah RM10,000.
Beliau berkata, penganjur menyasarkan untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM30,000 dalam bentuk tunai dan selain itu, pihaknya turut menerima tajaan dalam bentuk barangan.
“Dana yang dikumpul tersebut akan diagihkan kepada tiga pertubuhan kebajikan yang terlibat dalam aktiviti penjagaan kesihatan buat masyarakat termasuk rawatan dialisis dan pemberian peralatan kesihatan,” katanya.
Kejohanan itu akan melibatkan kategori perseorangan lelaki bawah 10 tahun (B-10), B-12, B-14 dan B-16, selain perseorangan perempuan B-14.
Acara beregu pula melibatkan lelaki semi profesional, lelaki bakat baharu dan beregu campuran.