Victor bersama pemain KDA FC giat menjalani latihan di Alor Setar bagi aksi Liga Super di Temerloh pada malam Selasa. – Foto KDA FC
KETUA Jurulatih Sementara Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag mahu terus memberikan peluang kepada pemain muda pasukannya bagi memantapkan prestasi mereka, khususnya menjelang aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pada Selasa ini.
Pengendali tersebut berharap pemain mudanya dapat memanfaatkan peluang yang diberikan bagi membuktikan kemampuan masing-masing.
Beliau menyatakan keyakinannya terhadap potensi pemain muda yang menunjukkan semangat juang tinggi terutama selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun tewas 6-1 di Stadium Darul Aman pada 29 Mac lalu.
“Satu gol yang dijaringkan oleh Afeeq Ikmal Rosli semasa menentang JDT bukan sesuatu yang mudah. Ia membuktikan semangat dan usaha pemain muda, walaupun ada beberapa peluang yang tidak dapat disempurnakan.
“Saya yakin apabila diberikan peluang, pemain muda dengan karakter kuat mampu turun beraksi dan membuktikan sesuatu yang positif,” katanya.
Pada aksi menentang Harimau Selatan itu, Sang Kenari turut menyenaraikan beberapa nama pemain muda seperti Muhammad Aiman Farhan, Muhammad Danial Tarmizi, Muhammad Akmal Hakim, dan Muhammad Azim Anuar.
Victor juga percaya pendedahan berterusan dalam perlawanan kompetitif mampu memberikan impak positif bukan sahaja kepada prestasi individu pemain tetapi juga kekuatan keseluruhan pasukan.
KDA FC kini berada di tangga ke-11 Liga Super dengan memungut 20 mata selepas 21 perlawanan, manakala Sri Pahang FC di tangga ke-10 dengan jumlah mata dan perlawanan sama dengan Sang Kenari cuma dibezakan dengan jumlah perbezaan gol sahaja.