KEJOHANAN Badminton Asia (BAC) 2025 di China menjadi medan terbaik buat pemain negara membuktikan kemampuan mereka untuk menjulang nama Malaysia di benua ini.
Cabaran itu dilontarkan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek, yang melihat kejohanan tersebut juga mampu menutup mulut pengkritik yang meragui kemampuan pemain negara di pentas antarabangsa.
Malah, kata beliau, kemampuan sebenar mereka juga wajar diterjemahkan dan dikeluarkan sepenuhnya seperti dipraktikkan ketika sesi latihan.
“Harap mereka boleh tingkatkan prestasi. Sebelum ini ramai yang kritik prestasi pemain kita.
“Jadi, BAC menjadi pertandingan terbaik buat mereka untuk buktikan kemampuan sebenar (raih gelaran),” katanya.
Kejohanan yang menawarkan hadiah AS$500,000 (RM2.2 juta) itu dijadual berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo bermula Selasa hingga Ahad ini.
Perseorangan lelaki negara bakal diwakili Ng Tze Yong, 25, yang kembali ke gelanggang selepas pulih daripada kecederaan belakang kira-kira setahun lalu.
Turut menggalas cabaran negara ialah Leong Jun Hao, 26, dan Justin Hoh, 21, yang bakal beraksi pada pusingan kelayakan.
Rashid juga berharap pemain perseorangan negara menetapkan sasaran yang realistik sesuai dengan perkembangan usia mereka.
Beliau berkata, penyertaan mereka pada mana-mana kejohanan bukan sekadar untuk bertanding, sebaliknya perlu memperagakan persembahan yang konsisten.
“Perkembangan (Tze Yong dan Jun Hao) agak lambat berbanding usia. Mereka sepatutnya didedahkan dengan lebih banyak kejohanan bertaraf Super 300, 500 dan 750. Bukan setakat masuk kejohanan, tetapi perlu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.
“Kita tidak mengharapkan terus jadi juara atau masuk final, tetapi ada peningkatan. Memang mereka ada peluang untuk menyertai kejohanan, tetapi dari segi prestasi masih kurang memuaskan. Perlu lebih konsisten,” kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu.
Justeru, Rashid berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu lebih proaktif untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu di peringkat akar umbi menerusi pertandingan domestik.
“Kita kurang bakat-bakat untuk diketengahkan, cuma ada beberapa pemain sahaja, tidak seperti China dan Indonesia yang memiliki banyak bakat muda.
“Pertandingan terbuka di peringkat bawah umur dalam negara memang kurang. Jadi, peluang pemain muda untuk tunjukkan bakat dan serlahkan kemampuan mereka memang terhad,” katanya.
Selain wakil lelaki, cabaran Malaysia turut digalas Goh Jin Wei, K. Letshanaa dan Wong Ling Ching yang akan bersaing di peringkat kelayakan.