hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketibaan Dr Fauziah Mohd Hassan di Istanbul, Turkiye pada Jumaat, selepas dibebaskan tentera Israel disambut dengan jambatan bunga dan pelukan daripada wanita Palestin yang menetap di negara itu.
Dr Fauziah, 68, bersama lapan rakyat Malaysia menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dan menaiki kapal Conscience sebelum dipintas tentera rejim itu pada Rabu.
Wanita digelar ‘ibu’ itu selamat tiba di Istanbul pada jam 2.30 petang (waktu tempatan) atau 7.30 malam (waktu Malaysia) Jumaat.
Video memaparkan beliau disambut wanita Palestin dikongsikan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) di Facebook.
“Kepulangan ibu disambut oleh wanita-wanita Palestin di Istanbul dengan jambangan bunga dan dakapan penuh kasih. Begitulah kasih ibu. Melimpah tak bertebing,” tulis MyCARE.
Dalam video itu, Dr Fauziah dilihat ceria berpelukan dengan beberapa wanita yang menyambut ketibaannya, malah sempat didengari berkata, “We do it for you (kami lakukan ini untuk kamu)” dipercayai merujuk kepada misi kemanusiaan memecahkan benteng sekatan ke atas Gaza.
Sebelum ditahan, Dr Fauziah sempat berkongsi video di TikTok yang mengakui tersentuh hati dengan sokongan diberikan rakyat Malaysia kepadanya, malah ada pengguna media sosial memanggilnya dengan gelaran ibu dan emak.
“Saya ambil kesempatan ini ucapkan terima kasih kepada semua yang mengikuti saya dan ada yang memanggil saya ibu, ada yang panggil saya mak. (Saya) sangat tersentuh atas sokongan dan dokongan semua,” katanya dalam video berkenaan yang dikongsi empat hari lalu.
Dr Fauziah yang juga doktor perubatan dikenali sebagai aktivis aktif memperjuangkan isu Palestin dan sebelum ini pernah menyertai misi ‘Women’s Boat to Gaza pada 2016 dan ditahan tentera Israel.
Semangat membaranya diteruskan dalam misi FFC x TMTG ini yang turut disertai suaminya, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali.
Selain pasangan itu, tujuh lagi warga Malaysia yang turut serta adalah Dr Hafiz Sulaiman; Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; dua pensyarah, Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar serta aktivis, Dr Maziah Muhammad.
Misi FFC x TMTG: 9 aktivis Malaysia dijangka tiba di ibu negara Ahad ini
© New Straits Times Press (M) Bhd