Pelumba cedera dibenar uji jentera sebelum kembali beraksi

Pelumba cedera dibenar uji jentera sebelum kembali beraksi


London: Pelumba MotoGP yang terlepas beberapa perlumbaan akibat kecederaan kini dibenarkan menjalani sesi ujian jentera sebelum kembali beraksi dalam kejuaraan, menurut kenyataan rasmi daripada badan pengendali sukan itu semalam.

Langkah itu diumumkan selepas insiden membabitkan juara bertahan Jorge Martin yang tidak dapat menguji jentera Aprilia Racing miliknya awal musim ini akibat kecederaan pramusim.

“Untuk diberikan kelonggaran ini, seseorang pelumba mesti terlepas sekurang-kurangnya tiga perlumbaan berturut-turut atau tidak dapat menyertai sebarang acara selama 45 hari berturut-turut dalam musim yang sama,” kata MotoGP dalam kenyataan itu.

Peraturan baharu ini dijangka membantu proses pemulihan fizikal dan adaptasi semula pelumba yang baru pulih, serta mengelakkan risiko kecederaan berulang apabila mereka kembali bersaing.

Dalam satu lagi perubahan peraturan susulan insiden kekecohan tayar di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat Mac lalu, MotoGP turut memperkenalkan penalti khas bagi pelumba yang meninggalkan petak permulaan selepas masuk ke grid.

Ketika itu, keadaan cuaca yang berubah secara tiba-tiba menyebabkan beberapa pelumba menukar tayar basah kepada tayar kering – tindakan yang mencetuskan kekalutan sehingga perlumbaan dihentikan seketika dengan bendera merah.

“Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana pelumba yang meninggalkan grid atas sebarang sebab wajib memulakan pusingan pemanas badan (warm up lap) dari lorong pit, kembali ke posisi grid asal dan akan dikenakan penalti dua pusingan panjang standard (double long lap penalty),” tambah kenyataan itu.

Perubahan peraturan ini dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan, ketelusan dan keadilan perlumbaan dalam ketiga-tiga kelas iaitu MotoGP, Moto2 dan Moto3.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top