Kenneth Jonassen. Foto Bernama
PEMAIN perseorangan badminton negara teruja untuk berguru bersama ketua jurulatih baharu, Kenneth Jonassen.
Pemain muda, Eogene Ewe Eon berkata, meskipun tidak mengenali Jonassen secara dekat, beliau tidak sabar untuk menjalani latihan bersama jurulatih kelahiran Denmark itu memandangkan individu tersebut antara orang penting yang melatih idolanya yang juga pemenang emas Olimpik dua kali berturut-turut Viktor Axelsen.
Beliau yakin Jonassen mampu memacu prestasinya ke arah yang lebih baik sekali gus merealisasikan impiannya untuk berada di kelompok 64 terbaik dunia tahun hadapan.
“Saya sangat gembira seorang jurulatih Eropah datang ke sini kerana saya rasa budayanya berbeza kerana kita orang Asia, dan saya rasa kalau digabungkan budaya Eropah (dengan Asia) akan ada lebih banyak penambahbaikan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai sesi suai kenal bersama Jonassen hari ini, beliau mendedahkan jurulatih itu memintanya untuk memperbaiki prestasinya terutamanya dari segi pergerakan kaki (footwork).
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Siti Zulaikha Azmi turut teruja untuk berlatih di bawah kendalian Jonassen sambil berharap kehadiran individu itu mampu menaikkan lagi prestasinya.
“Saya rasa teruja kita dapat ketua jurulatih dari Denmark dan saya harap dapat banyak belajar. Saya harap saya dapat bagi terbaik untuk tingkatkan lagi saya permainan,” katanya.
Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk V. Subramaniam pada Sabtu mengumumkan Jonassen sebagai ketua jurulatih baharu sektor sektor perseorangan negara dengan kontrak selama empat tahun.
Jonassen akan memulakan tugasnya secara rasmi pada 4 Jan tahun hadapan. – Bernama