Pemain bass Limp Bizkit meninggal dunia

Pemain bass Limp Bizkit meninggal dunia


Los Angeles: Pemain bass dan pengasas kumpulan nu-metal atau sub-genre metal alternatif Limp Bizkit, Sam Rivers dilaporkan meninggal dunia pada usia 48 tahun.

Pemergian Rivers disahkan kumpulan itu dalam kenyataan rasmi, lapor Agensi.

Ahli kumpulan Limp Bizkit menyifatkan Rivers, 48, sebagai nadi kumpulan itu dalam hantaran penghormatan di Instagram (IG), lapor NST Online.

“Rivers bukan sekadar pemain bass kami, dia adalah magis sebenar. Dialah denyut di sebalik setiap lagu, ketenangan dalam kekacauan, jiwa kepada setiap bunyi.

“Sejak nota pertama yang kami mainkan bersama, Sam membawa cahaya dan irama yang tidak mungkin digantikan. Bakatnya luar biasa, kehadirannya tidak dapat dilupakan, hatinya begitu besar.

“Kami berkongsi begitu banyak detik yang liar, tenang, indah dan semuanya menjadi lebih bermakna kerana Sam ada di situ,” kata kenyataan kumpulan itu.

Rivers adalah salah seorang ahli asal ketika Limp Bizkit ditubuhkan pada 1994.

Mendiang memainkan peranan penting sepanjang era kegemilangan kumpulan itu pada awal 2000 menerusi album seperti Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water (2000) dan Results May Vary (2003).

Beliau kemudian mengambil cuti panjang daripada kumpulan itu pada 2015 sebelum kembali bersama pada 2018.

Rivers mendedahkan tempoh rehat panjang itu disebabkan penyakit hati berpunca daripada pengambilan alkohol berlebihan dan beliau kembali aktif selepas menjalani pemindahan hati.

Sejak itu, Rivers kembali aktif mengiringi Limp Bizkit dalam siri jelajah mereka termasuk persembahan utama di Leeds Festival pada akhir Ogos lalu.

Rakan-rakannya, iaitu vokalis Fred Durst, Wes Borland (gitar); DJ Lethal (keyboard) dan John Otto (dram) menyanjung Rivers sebagai ‘legenda antara legenda’.

DJ Lethal turut meninggalkan komen di bawah hantaran kumpulan itu, meminta peminat menghormati privasi keluarga dan menyatakan kumpulan berkenaan kini berduka dan terkejut.

Hantaran terakhir mendiang Rivers di Instagram (IG) dibuat hanya sehari sebelum kematiannya, memperingati ulang tahun ke-25 salah satu album paling berjaya kumpulan itu dengan kapsyen, ‘nothing but love’.

Setakat ini, punca kematian belum didedahkan kepada umum.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top