Nazareno maut selepas terkena peluru sesat di rumahnya di bandar pelabuhan Guayaquil di Ecuador pada Rabu.
SEORANG pemain bola sepak remaja berusia 16 tahun dari akademi belia kelab Independiente del Valle maut selepas terkena peluru sesat di rumahnya di bandar pelabuhan Guayaquil di Ecuador pada Rabu.
Menurut pihak polis, mangsa iaitu Miguel Nazareno, dilaporkan berada di kediamannya sebelum terkena peluru sesat dalam satu insiden tembakan yang berlaku di kawasan berkenaan.
Kelab Independiente del Valle dalam satu hantaran di Instagram menyatakan rasa sedih atas kehilangan pemain muda itu yang menjadi mangsa kepada masalah keselamatan semakin membimbangkan di Ecuador.
“Nazareno malangnya menjadi mangsa kepada ketidaktenteraman dan ketidakseimbangan keselamatan yang sedang melanda negara kami. Kami mengucapkan takziah tulus ikhlas serta menyampaikan sokongan kepada keluarga, rakan dan rakan sepasukannya dalam menghadapi detik sukar ini,” kata kelab berkenaan.
Nazareno yang bermain di posisi tengah dan penyerang merupakan mangsa keempat daripada kalangan pemain bola sepak yang maut akibat tembakan di Ecuador tahun ini.
Sebelum ini, tiga pemain lain iaitu Maicol Valencia dan Leandro Yépez dari kelab Exapromo Costa serta Jonathan González dari 22 de Junio turut terbunuh dalam kejadian berasingan pada September lalu.
Kedua-dua kelab tersebut bermain dalam saingan divisyen kedua Ecuador.
Nazareno merupakan pemain skuad bawah 18 tahun Independiente del Valle, kelab yang turut melahirkan beberapa pemain ternama Ecuador seperti Moisés Caicedo (Chelsea) dan Piero Hincapié (Bayer Leverkusen).
Sejak tahun 2021, Ecuador berdepan peningkatan mendadak dalam kes jenayah keganasan akibat kegiatan kumpulan samseng yang dikaitkan dengan kartel dadah dari Colombia dan Mexico.
Ringkasan AI
- Seorang pemain bola sepak remaja berusia 16 tahun dari akademi Independiente del Valle maut terkena peluru sesat di rumahnya di Guayaquil, Ecuador
- Miguel Nazareno terkena peluru sesat dalam insiden tembakan di kawasan kediamannya
- Kelab Independiente del Valle menyatakan rasa sedih dan menyampaikan takziah kepada keluarga Miguel Nazareno
- Nazareno adalah mangsa keempat pemain bola sepak di Ecuador yang maut akibat tembakan tahun ini
- Ecuador mengalami peningkatan jenayah keganasan sejak tahun 2021 berhubung kegiatan kumpulan samseng dan kartel dadah





