Pemain bola sepak patah tulang leher terhantuk papan iklan LED

Pemain bola sepak patah tulang leher terhantuk papan iklan LED


Asamoah (depan) berkemungkinan lumpuh selepas patah tulang leher. Foto AFP

PEMAIN bola sepak antarabangsa Togo, Samuel Asamoah patah tulang leher selepas terhantuk pada papan iklan LED di tepi padang ketika beraksi dalam saingan liga domestik di China, menurut kelabnya yang bimbang kecederaan itu boleh menyebabkan beliau lumpuh.

Rakaman video menunjukkan pemain berusia 31 tahun itu ditolak oleh pemain lawan semasa perebutan bola dalam perlawanan Liga Satu China pada Ahad lalu, sebelum dia terjatuh dan kepalanya menghentam papan iklan elektronik di tepi padang.

Kelabnya, Guangxi Pingguo, memaklumkan bahawa Asamoah mengalami patah tulang leher serta kerosakan saraf dan telah menjalani pembedahan.

“Dia berisiko mengalami paraplegia tahap tinggi dan akan terlepas semua baki perlawanan musim ini. Kerjayanya juga mungkin terjejas dengan serius,” kata kenyataan kelab itu.

Pada Rabu, Guangxi Pingguo FC memaklumkan bahawa Asamoah kini sedang pulih selepas pembedahan dan berada dalam keadaan stabil.

“Guangxi Pingguo FC merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua penyokong dan masyarakat yang prihatin serta memberi sokongan kepada Samuel Asamoah.

“Perkembangan pemulihannya akan diumumkan dari semasa ke semasa selepas pemeriksaan susulan dijalankan,” katanya.

Asamoah sebelum ini beraksi di Belgium untuk sebahagian besar kariernya sebelum berhijrah ke China tahun lalu.

Menurut laman statistik bola sepak transfermarkt.com, beliau telah mewakili skuad kebangsaan Togo sebanyak enam kali.

Media tempatan The Paper, yang memetik pihak berkuasa bola sepak China, melaporkan bahawa papan iklan berkenaan diletakkan tiga meter dari garisan padang sejajar dengan piawaian antarabangsa.

Sementara itu, pemain lawan dari kelab Chongqing Tonglianglong, Zhang Zhixiong, yang terlibat dalam insiden tersebut, telah diberikan kad kuning oleh pengadil.

Ringkasan AI

  • PEMAIN bola sepak antarabangsa Togo, Samuel Asamoah patah tulang leher selepas terhantuk papan iklan LED
  • Asamoah mengalami patah tulang leher dan kerosakan saraf, menjalani pembedahan
  • Dia berisiko tinggi mengalami paraplegia, berpotensi terlepas semua perlawanan musim ini dan kerjayanya terjejas
  • Asamoah sedang dalam proses pemulihan setelah pembedahan, keadaannya stabil
  • Skuad kebangsaan Togo telah diwakili oleh Asamoah sebanyak enam kali, pernah bermain di Belgium sebelum berpindah ke China



Source link

OR

Scroll to Top