Ngumoha memperdaya dua pertahanan lawan sebelum mengelecek bola ke arah kanan dan melepaskan rembatan deras ke arah penjuru kanan gawang Miami FC.
ENGLAND meneruskan persiapan menjelang Piala Dunia 2026 dengan kemenangan besar 6-0 ke atas Miami FC dalam aksi persahabatan tertutup di Florida, awal pagi Jumaat, namun tumpuan turut terarah kepada aksi menarik pemain muda Rio Ngumoha.
Skuad The Three Lions kendalian Thomas Tuchel itu mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam siri pemanas badan selepas menewaskan Costa Rica 3-0 sehari sebelumnya di Orlando, sekali gus mengekalkan momentum positif menjelang kejohanan utama.
Sebahagian besar penguasaan England terserlah pada babak kedua apabila lima daripada enam gol dijaringkan dalam tempoh itu, mencerminkan kekuatan fizikal serta depth skuad yang dimiliki Tuchel.
Ivan Toney terus menyerlah apabila meledak hatrik untuk mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyerang utama England, termasuk satu jaringan jarak jauh yang menarik perhatian.
Tiga lagi gol disumbangkan Jordan Henderson, Ethan Nwaneri dan Rio Ngumoha, dengan gol terakhir pemain muda itu hadir menerusi rembatan dari luar kawasan penalti yang mempamerkan ketenangan serta kualiti penyudah meyakinkan.
Lebih menarik, Ngumoha, 17, bukan sebahagian daripada senarai akhir skuad England ke Piala Dunia dan hanya dibawa ke kem latihan sebagai pemain sokongan bagi menimba pengalaman bersama pasukan senior.
Walaupun tidak tersenarai dalam skuad utama, pemain berkenaan tetap diberi peluang beraksi dalam perlawanan pemanas badan itu dan berjaya memanfaatkan kesempatan tersebut dengan menjaringkan gol.
Difahamkan, Ngumoha tidak termasuk dalam kelompok awal 55 pemain yang didaftarkan England, sekali gus tidak layak dipanggil ke kejohanan walaupun berlaku kecederaan dalam skuad utama.
England sebelum ini turut mencatat kemenangan ke atas New Zealand tanpa dibolosi, sekali gus menambah keyakinan terhadap kestabilan benteng pertahanan mereka menjelang aksi sebenar di Piala Dunia.
Skuad Three Lions akan membuka kempen Kumpulan L menentang Croatia pada 18 Jun (4 pagi waktu Malaysia) sebelum berdepan Ghana dan Pana.






