Pemain England tak boleh bergantung dengan pil tidur

Pemain England tak boleh bergantung dengan pil tidur

Pemain England  tak boleh bergantung dengan pil tidur


London: Pemain England diberi amaran supaya tidak bergantung kepada pil tidur ketika menyesuaikan diri dengan jadual yang dianggap paling mencabar dalam sejarah Piala Dunia.

Skuad kendalian Thomas Tuchel menjalani latihan selama empat hari di Palm Beach Gardens menjelang aksi persahabatan menentang New Zealand di Tampa, Ahad ini.

The Three Lions kemudian akan bertemu Costa Rica di Orlando pada Rabu depan sebelum berpindah ke kem rasmi mereka di Swope Park, Kansas City.

Selepas mengharungi perlawanan kumpulan di Dallas, Boston dan New Jersey, England berpotensi merentasi beberapa zon waktu sekiranya mara jauh dalam kejohanan, dengan aksi kalah mati mungkin berlangsung di Mexico City, Toronto dan Los Angeles.

Pakar tidur, James Wilson yang pernah bekerjasama dengan kelab seperti Coventry City, West Ham United, Rotherham United dan Lincoln City, menegaskan pil tidur bukan penyelesaian yang baik untuk pemain bola sepak.

“Berdasarkan perbualan saya dengan pemain lelaki dan wanita, saya berharap mereka tidak mengambil pil tidur.

“Pil tidur tidak memberikan tidur pemulihan sebenar. Apa yang berlaku ialah ‘sedasi’, ia hanya membuatkan anda tidak sedarkan diri.

“Ia tidak baik untuk kualiti tidur dan tidak membantu proses pemulihan, sebab itu ia bukan pilihan yang sesuai dalam bola sepak. Tambahan pula, ia boleh menyebabkan ketagihan. Itu sebab utama mengapa pil tidur tidak sepatutnya menjadi pilihan pertama,” katanya.

Menurut Wilson, empat jam tidur yang kurang berkualiti tanpa pil tidur selepas perlawanan adalah lebih baik berbanding lapan jam tidur yang diperoleh hasil bantuan kebanyakan pil tidur.

Wilson turut menekankan kepentingan mewujudkan suasana bilik yang menyerupai rumah bagi membantu pemain mendapat tidur yang lebih berkualiti.

Atas sebab itu, Persatuan Bolasepak berusaha menjadikan penginapan skuad di The Inn at Meadowbrook sebagai rumah kedua buat pemain.

“Banyak perkara boleh dilakukan untuk mewujudkan hubungan dengan suasana di rumah. Ada pemain yang menggunakan wangian pasangan mereka kerana deria bau sangat kuat dari segi emosi.

“Jika tidak mahu menggunakan wangian itu, mereka boleh membawa penyegar bilik sendiri. Gambar keluarga dan orang tersayang juga boleh membantu menjadikan bilik itu terasa seperti rumah.

“Malah membawa sarung bantal atau cadar sendiri juga penting kerana faktor keselesaan memainkan peranan besar. Apabila seseorang berasa lebih tenang dan yakin, mereka lebih mudah untuk tidur lena,” jelasnya.

Pemain England turut dibantu oleh peranti pemantauan kesihatan WHOOP sepanjang kem latihan.

Peranti yang dipakai di pergelangan tangan itu merekodkan pelbagai data kesihatan sepanjang masa termasuk kadar variasi degupan jantung, kadar denyutan jantung ketika rehat serta prestasi tidur.

Sementara itu, pertahanan John Stones menyatakan skuad semakin serasi menjelang perlawanan pertama.

“Ia tentang membiasakan diri antara satu sama lain di atas padang dan membina keserasian,” katanya.

England akan memulakan kempen Piala Dunia 2026 menentang Croatia di Texas dalam tempoh 12 hari lagi.

Walaupun suhu di Amerika Syarikat dijangka tinggi sepanjang kejohanan, Stadium Dallas dilengkapi sistem penyaman udara sepenuhnya yang dijangka membantu pemain menghadapi cuaca panas.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top