SEMANGAT juang yang dipamerkan oleh pemain muda Kedah Darul Aman (KDA) FC yang mengekang PDRM FC sehingga ke penentuan sepakan penalti separuh akhir kedua MFL Challenge Cup mendapat pujian pengendali sementaranya, Victor Andrag.
Tewas 5-4 menerusi sepakan penalti selepas terikat 1-1 pada masa sebenar dengan agregat 4-4 di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu bukan penamat buat Sang Kenari sebaliknya menjadi nilai tambah kepada para pemain muda mereka.
Menurut Victor, karakter dan kesungguhan pemain mudanya bakal membuka mata dan menarik minat jurulatih-jurulatih kelab pasukan lain.
“Saya tidak boleh harap apa-apa kerana mereka telah memberikan segala-galanya. kita tahu PDRM FC adalah juara MFL Challenge Cup musim lalu selain mempunyai pemain import berkualiti.
“Kita berjaya kekang mereka sehingga ke masa tambahan dan penentuan sepakan penalti. Kita perlu hargai sumbangan setiap pemain, kedepan saya harap mereka ada masa depan yang cerah, perjalanan mereka masih jauh,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.
Jelas bekas ketua pasukan Hijau Kuning ini, beliau mengakui bertuah kerana ada pemain dan jurulatih masih mahu berada di dalam pasukan dan bergerak bersama walaupun masing-masing berdepan dengan kesukaran berikutan masalah gaji yang dihadapi.
Menurutnya, semangat berpasukan sebagai satu keluarga yang diterapkan menjadi asas kepada Sang Kenari untuk berjaya mara ke peringkat separuh akhir perebutan piala tersebut.
“Banyak halangan yang dihadapi oleh pemain KDA FC sejak awal musim, namun ia bukan mudah. Awal-awal saya dah cakap semua perlu faham kedudukan kita, sebagai satu keluarga bergerak sebagai pasukan.
“Sesetengah daripada pemain ini sukar untuk menghadapi cabaran setiap hari dan saya sangat bangga dan ‘tabik’ pada mereka kerana masih mampu ada motivasi walaupun berdepan dengan sesetengah isu, mereka lakukan ini sebab masa depan mereka.
“Perlawanan hari ini adalah satu ‘market value’ untuk mereka, saya doakan untuk masa depan mereka, jika ada jurulatih di luar sana dapat menilai mereka,” ujarnya.