Penyerang muda KDA FC, Mohd Aiman Afif Md Afizul (kiri) dikawal ketat pertahanan PDRM FC pada separuh akhir kedua MFL Challenge Cup di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu. Foto KDA FC
PENYANDANG juara MFL Challenge Cup, PDRM FC mara ke final selepas menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC menerusi sepakan penalti 5-4 pada separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
Penentuan sepakan penalti dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar dengan agregat 4-4.
Penjaga gol The Cops, Bryan See berjaya menggagalkan sepakan pemain kelima tuan rumah, Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman untuk membawa kelab tersebut sekali lagi mara ke pentas akhir untuk bertemu Selangor FC ataupun Penang FC.
Pada aksi sebenar, Sang Kenari yang dibarisi ramai pemain muda berjaya memperoleh gol menerusi Amirul Hisham Awang Kechik pada minit ke-58 hasil serangan pantas yang dilakukan oleh mereka.
Terkejut dengan jaringan tersebut, PDRM FC kembali menyusun perlawanan untuk memburu gol penyamaan namun beberapa peluang berjaya dipatahkan barisan pertahanan KDA FC dan penjaga golnya, Ifwat Akmal Chek Kassim.
Gol yang diburu oleh pasukan pelawat akhirnya muncul pada penghujung perlawanan separuh masa kedua pada minit ke-97 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Shafizi Ikmal menjadi hero PDRM FC apabila menjaringkan gol tersebut bagi menghidupkan peluang kelabnya untuk mara ke pusingan seterusnya.
Pada masa tambahan 30 minit pula, kedua-dua pasukan berbalas serangan untuk terus memburu gol namun keputusan 1-1 kekal sehingga ke wisel penamat sebelum perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.