September 8, 2024

Pemain muda Selangor FC sertai kelab Jepun

Pemain muda Selangor FC sertai kelab Jepun


KUALA LUMPUR- Bintang muda Selangor FC, Muhammad Abu Khalil bakal beraksi bersama kelab Jepun, FC Osaka di liga J3 mulai bulan ini.

Perkara itu disahkan Selangor FC menerusi satu hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Menurut Gergasi Merah itu, pihak pengurusan secara rasmi memberi pinjaman Muhammad kepada FC Osaka setelah menerima tawaran usai tamat menjalani percubaan pada 24 Jun hingga 2 Julai lalu.

Muhammad merupakan antara pemain muda kemasukan musim 2023 yang telah beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu sebagai pemain kesebelasan utama.

Beliau juga berjaya membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super Malaysia bersama skuad utama Gergasi Merah dalam tahun yang sama.

“Atas pencapaian ini, beliau juga telah mendapat panggilan kebangsaan bawah 23 tahun dalam saingan Piala Asia untuk dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam,” kata kelab berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad melahirkan rasa syukur beliau bdengan peluang yang diberikan.

Katanya, ini adalah peluang terbaik untuk beliau mengembangkan lagi potensi diri dalam karier bola sepak menerusi sistem yang digunakan Jepun.

“Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman.

“Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari.

“Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3,” ujarnya.

FC Osaka kini berada di tempat ke-3 berkongsi mata bersama pasukan di tempat ke-2 dalam saingan Liga J3.

Kelab yang ditubuhkan pada tahun 1996 yang bertempat di Higashiosaka, Osaka itu menyatakan mereka menaruh harapan kepada kemampuan Muhammad terutamanya dalam bahagian serangan selepas beliau menjaringan beberapa gol semasa sesi percubaan.

Menurut FC Osaka, gerakan serangan Muhammad adalah yang terbaik dalam pasukan sepanjang beliau bersama mereka. Selaras dengan misi mereka untuk menaikkan nama ‘Osaka’, mereka dengan berbesar hati menawarkan Muhammad kedudukan dalam skuad FC Osaka secara pinjaman.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top