Pemain nombor satu dunia kagum pencapaian Lottie

Pemain nombor satu dunia kagum pencapaian Lottie


London: Peningkatan mendadak Lottie Woad dalam dunia golf mengagumkan ramai pesaingnya, termasuk pemain nombor satu dunia, Nelly Korda.

Mereka berdua beraksi bersama pada Terbuka Scotland minggu lalu yang dimenangi Lottie dengan kelebihan tiga pukulan dalam penampilan profesional sulungnya.

Hanya dua minggu lalu Lottie yang juga pemain amatur nombor satu dunia kini melonjak ke tangga ke-24 dalam Kedudukan Dunia Rolex.

“Saya sangat kagum dengan ketenangannya dan proses dilaluinya ketika bertanding.

“Ketika dalam tekanan, ramai yang mudah gelabah atau mula ragu-ragu. Tapi dia tetap tenang, kekal dengan rutin setiap kali membuat pukulan.

“Itu yang paling menonjol kematangannya dan betapa selesanya dia mengawal situasi,” kata Nelly pada sidang media menjelang AIG Women’s Open di Royal Porthcawl, Wales.

Menariknya, Lottie yang berusia 21 tahun itu, menyertai Jelajah LPGA selepas mencatat prestasi cemerlang ketika mewakili Florida State dan menamatkan Evian Championship di tempat ketiga, baru-baru ini.

“Saya rasa baik, jujurnya tidak terlalu berbeza. Sebulan kebelakangan ini beri saya keyakinan tinggi dan saya mahu teruskan momentum ini,” katanya.

Untuk dua pusingan awal AIG Women’s Open, Lottie bakal beraksi bersama juara bertahan dan bekas pemain nombor satu dunia, Lydia Ko, serta juara 2023, Lilia Vu.

“Saya rasa dia ada lebih banyak pengalaman daripada yang disangka orang.

“Bila saya lihat cara dia bawa diri dalam pertandingan, dia tidak tergesa-gesa atau terlalu emosional. Itu pasti membantu dalam transisi ke pentas profesional,” kata Lydia.

Sementara itu, Nelly akan mengetuai satu lagi kumpulan pilihan bersama Ariya Jutanugarn dan Angel Yin, manakala Atthaya Thitikul yang jug pencabar rapat Nelly bagi ranking teratas dunia digandingkan dengan Minjee Lee dan Charley Hull.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top