“AWAL-AWAL rasa kekok, dan rasa macam nak putus asa pun ada bila pandangan jadi gelap gelita lepas mata ditutup.”
Demikian kongsi Muhammad Syafiq Syakirin, 27, mengenai pengalaman baharunya ketika menyertai pertandingan futsal buta tiga penjuru membabitkan penyertaan pemain normal dan golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Nerus pada Rabu.
Program julung kali anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, Kelab Media Arus Perdana Terengganu (METRA) dan UniSZA itu mewajibkan semua peserta termasuk pemain normal menutup mata sepanjang permainan bagi merasai sendiri cabaran sebenar atlet OKU penglihatan.
Program tersebut mendapat sambutan menggalakkan dan berjaya mencetuskan kesedaran mengenai kewujudan sukan bola sepak orang buta yang masih kurang dikenali dalam kalangan masyarakat, sekali gus membuktikan ia mempunyai potensi besar sebagai platform inklusif yang menyatukan komuniti.
Pengerusi PERTIS Wilayah Terengganu, Mohd Fauzi Mansor berkata, penganjuran itu bukan sekadar acara sukan, malah menjadi jambatan dan seruan kesedaran serta menghubungkan masyarakat dengan komuniti OKU penglihatan.
”Kita dapat merapatkan masyarakat dengan komuniti orang buta itu sendiri di samping memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai dan menjiwai bagaimana mereka yang kurang penglihatan menjalani aktiviti dalam sukan bola sepak ini.
”Melalui pengalaman itu, masyarakat akan lebih memahami kecekalan serta keupayaan sebenar golongan ini yang sering dipandang rendah,” katanya.
Barisan peserta, pihak pengurusan UniSZA, urus setia PERTIS Wilayah Terengganu, dan ahli METRA merakamkan gambar kenangan pada pertandingan futsal buta tiga penjuru yang berlangsung di UniSZA, Kuala Nerus, baru-baru ini.
Menariknya, walaupun pada awalnya terdapat peserta normal yang kekok dan hampir berputus asa sebaik mata ditutup, semangat berpasukan serta sokongan rakan sepasukan berjaya mengatasi halangan tersebut.
Dalam pada itu, tumpuan perlawanan turut terarah kepada salah seorang pemain OKU penglihatan, Muhammad Amin Azmi Murad yang merupakan adik kepada tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC) dan skuad kebangsaan, Muhammad Azam Azmi Murad.
Menurut Muhammad Amin, kejayaan abangnya dalam kancah bola sepak tempatan menjadi sumber inspirasi terbesar dan kekuatan utama untuk beliau menjejakkan kaki lebih jauh dalam sukan berkenaan.
”Abang saya jadi sumber kekuatan untuk saya terus bersemangat bermain bola. Harapan saya supaya sukan OKU penglihatan ini terus berkembang dan impian saya adalah mahu melihat lebih ramai atlet golongan ini diberi peluang bersaing di peringkat tertinggi termasuk ke Paralimpik,” katanya.
Di sebalik kurangnya pendedahan, Pasukan Bola Sepak Orang Buta Kebangsaan Malaysia sebenarnya telah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila berjaya mara ke pentas final dan meraih pingat perak pada ASEAN Para Games 2025 di Thailand.
Sementara itu, wakil Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UniSZA, M. Nor Aishamuddin Sazali menyifatkan perlawanan tersebut membuka mata pelbagai pihak mengenai tanggungjawab sosial terhadap komuniti OKU.
”Ini memberi kita satu kesedaran bahawa tanggungjawab sosial kita bila bertemu dengan golongan ini, mereka memerlukan panduan daripada kita dan perlawanan malam ini sangat hebat serta sengit,” ujarnya.
Melihat kepada potensi besar sukan ini, pihak penganjur turut menyatakan hasrat untuk memperluaskan penganjuran sukan itu ke skala yang lebih besar, khususnya di Pantai Timur, selain menarik penyertaan lebih ramai golongan muda.
Pengurus Wilayah Pantai Barat Semarak Energy Resources, Danial Arif Azmi berkata, pihaknya komited untuk memperluaskan sukan berkenaan melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Peserta perlawanan futsal buta tiga penjuru cuba mengawal bola dalam keadaan mata ditutup pada program julung kali anjuran PERTIS Wilayah Terengganu, METRA dan UniSZA di Kuala Nerus.
”Kita akan menganjurkan program yang lebih besar kerana golongan kurang upaya perlu diketengahkan bukan sahaja dalam bola sepak, malah sukan-sukan lain. Usaha berterusan perlu digerakkan secara bersama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta bagi memastikan sukan ini terus berkembang serta mendapat tempat sewajarnya,” katanya.
Jelas beliau, penganjuran sukan itu bukan sahaja membuka ruang kepada bakat baharu, malah menjadi simbol bahawa keterbatasan penglihatan bukan penghalang untuk mencipta kejayaan di gelanggang.
Katanya, dengan pendedahan dan sokongan berterusan, sukan bola sepak orang buta diyakini mampu berdiri sebaris dengan sukan arus perdana.
Sementara itu, Presiden METRA, Zaid Md Noor berkata, beliau berharap pengamal media terus mendokong usaha mendedahkan sisi lain atlet OKU penglihatan kepada umum agar mendapat perhatian masyarakat.
”Pada masa akan datang, kita akan cuba dedahkan lagi sisi lain atlet OKU penglihatan yang terbabit dalam sukan ini dan semoga ada atlet dari Terengganu atau Pantai Timur mampu menjadi atlet terbaik di peringkat antarabangsa,” katanya.





