IPOH – Keputusan Perak FC untuk tidak meneruskan saingan di dalam Liga Super musim depan memaksa pemain yang ada mencuba peluang lain meneruskan kehidupan mereka.
Itulah yang dilakukan salah seorang pemain yang berpotensi, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil, 20, apabila membuat keputusan untuk menyertai sesi pemilihan skuad Sukan Malaysia (Sukma) Perak.
Menurut Ahmad Daniel Hakimi, keputusan itu dibuat bagi memastikannya terus kekal aktif bermain memandangkan faktor usia yang masih berpeluang untuk mewakili pasukan itu jika dipilih kelak.
“Berita ketiadaan Perak FC dalam Liga Super sangat mengecewakan kita semua sebab saya pun baru main Liga Super sangat-sangat baru. Setahun pun tak sampai lagi.
“Ketiadaan Perak FC dalam liga ini memang agak kecewa. Saya hanya sempat main empat ke lima perlawanan sahaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas sesi pemilihan terakhir Sukma Perak 2025-2026 di Stadium Mini Chepor di sini pada Ahad.
Ditanya sama ada menerima lamaran daripada pasukan lain, Ahmad Daniel Hakimi mengakui mendapat tawaran dari sebuah pasukan Liga Super namun belum membuat keputusan mengenainya.
Jelasnya, tumpuan kini terarah kepada peluang untuk mendapatkan tempat di dalam skuad Sukma Perak memandangkan sudah mempunyai pengalaman sebelum ini.
“Saya pernah berada di dalam pasukan ketika Sukma di Sarawak sebelum ini dan saya harap kali ini diberikan sekali lagi peluang itu untuk mengharumkan nama negeri.
“Sukma kali ini kita akan buat sehabis baik dan kalau ada rezeki sudah tentulah kita nak jadi juara,” katanya.
Pada Ahad, media melaporkan Perak FC dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa pasukan itu sudah kehabisan dana untuk meneruskan operasinya.
Pasukan itu kini bergantung kepada bantuan kewangan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi melunaskan hutang tertunggak kepada pemain, jurulatih dan staf, selepas mengumumkan penghentian operasi serta-merta akibat masalah kewangan yang kritikal.
Pihak pengurusan Perak FC menjelaskan bahawa kelab tersebut telah kehabisan dana selepas melaburkan lebih RM40 juta dalam tempoh tiga tahun terakhir.