Skuad Malaysian Tigress bakal menyertai empat kejohanan di pentas antarabangsa pada musim ini. Foto Facebook MHC
GABUNGAN pemain berpengalaman dan muda mampu memacu skuad hoki wanita untuk mengangkat nama negara menerusi empat kejohanan di pentas antarabangsa pada musim ini.
Malah lebih menarik, Malaysian Tigress akan turut diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain senior iaitu Noor Hasliza Md Ali dan Fatin Shafika Mahd Sukri yang berjaya memikat ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim.
Beliau berkata, mereka dipilih selepas memperagakan prestasi cemerlang ketika membantu Blue Warriors meraih gelaran trebel buat kali pertama pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025.
“Beberapa pemain utama yang cedera iaitu Nuramirah Shakirah, Siti Nur Arfah dan Siti Zulaikha juga kembali berlatih. Kehadiran mereka pasti memberikan impak positif buat pasukan.
“Bekas pemain kebangsaan seperti Noor Hasliza dan Fatin Shafika juga menunjukkan persembahan baik semasa MHL turut dipilih untuk memperkuatkan pasukan.
“Seorang pemain pasukan remaja kebangsaan, Zawaitul Akma yang belum membuat penampilan antarabangsa juga telah terpilih dan akan menyertai enam lagi pemain remaja dalam skuad senior,” katanya.
Musim ini, Malaysian Tigress akan mengharungi empat kejohanan penting iaitu Piala Dunia Remaja Wanita, Piala Negara-Negara, Piala Asia Wanita dan Sukan SEA 2025.
Seramai 26 pemain bakal menggalas misi besar negara dan senarai tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk Najmi Razak pada Rabu.
Nasihin turut berharap semua pemain dapat menanamkan mentaliti menang dalam diri mereka dan meletakkan sasaran untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA 2025.
Malah, beliau berkongsi impian untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad hoki wanita negara ketika era 80-an yang menjadi antara pasukan terbaik Asia.
“Secara peribadi, saya mahu pasukan ini menggunakan semua perlawanan persahabatan dan kejohanan yang disertai dengan memupuk mentaliti untuk menang. Mereka perlu meletakkan sasaran yang tinggi, sejauh mana yang mereka mahu capai.
“Sudah pastinya sasaran utama pasukan tahun ini adalah mengekalkan pingat emas Sukan SEA selain memberikan saingan terbaik bagi mencabar kedudukan tertinggi dalam semua perlawanan yang disertai.
“Berdasarkan aksi persahabatan dengan Afrika Selatan yang lepas, saya yakin pemain-pemain ini mampu untuk mencipta keputusan positif dalam kejohanan akan datang,” ujar Nasihin.