Rom: Pemain dalam saingan utama bola sepak Itali bakal mengalami pemotongan gaji sebanyak 25 peratus sekiranya pasukan mereka diturunkan ke Serie B, menerusi perjanjian baharu antara Persatuan Pemain Bolasepak Itali (AIC) dan Serie A.
Perjanjian selama lima tahun itu diumumkan hari ini. Langkah pemotongan gaji ini bertujuan meringankan beban kewangan kelab yang tersingkir daripada Serie A dan akan terpakai kepada semua kontrak yang ditandatangani selepas 2 September 2025, iaitu tarikh tamat jendela perpindahan.
Sistem baharu ini akan mengurangkan gaji secara automatik kecuali dinyatakan sebaliknya dalam kontrak pemain.
Kontrak sedia ada akan kekal mengikut terma yang telah dipersetujui sebelum ini.
Sekiranya pasukan berkenaan berjaya kembali ke Serie A, gaji pemain yang terlibat akan kembali kepada jumlah asal.
Perjanjian rundingan bersama ini turut memperkenalkan struktur gaji minimum berdasarkan umur pemain, yang tidak boleh dikurangkan walaupun selepas penyingkiran ke liga lebih rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd