DPMM mahu mendapatkan Faiq (kanan) untuk memperkuatkan pasukan itu musim depan. Foto Ratchaburi FC
KELAB DPMM FC dari Brunei menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain terkaya dunia, Faiq Bolkiah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Menerusi kenyataan rasmi kelab itu, DPMM FC merancang untuk membawa masuk pemain berusia 27 tahun itu sebaik sahaja jendela perpindahan dibuka pada Januari depan.
“Faiq Bolkiah akan dilepaskan oleh pasukannya ketika ini, Ratchaburi FC daripada Liga 1 Thailand.
“Bermula musim 2022/23, beliau tampil dalam 19 perlawanan bersama Chonburi FC sebelum berpindah ke Ratchaburi pada musim 2023/24.
“Namun beliau hanya boleh diikat untuk perpindahan pada Januari nanti ketika jendela perpindahan seterusnya,” kata kenyataan itu.
Faiq merupakan anak saudara kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah yang juga antara individu terkaya di dunia.
Menurut laporan media antarabangsa, Faiq dianggarkan memiliki kekayaan sebanyak AS$20 bilion dan dikatakan berkali ganda lebih banyak berbanding gabungan kekayaan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Faiq memulakan perjalanan bola sepaknya bersama pasukan remaja Newbury sebelum berpindah ke akademi Southampton, Chelsea dan Leicester City.
Beliau kemudiannya menandatangani kontrak profesional pertamanya bersama Marítimo pada tahun 2020 tetapi hanya membuat satu penampilan bersama pasukan bawah 23 tahun kelab itu.
Selepas itu, beliau berpindah ke Thailand bersama Chonburi sebelum menyertai Ratchaburi pada tahun 2023.
Ringkasan AI
- KELAB DPMM FC dari Brunei berminat mendapatkan pemain terkaya dunia, Faiq Bolkiah untuk Liga Malaysia
- DPMM FC merancang mendatangkan Faiq Bolkiah sebaik sahaja jendela perpindahan Januari dibuka
- Faiq Bolkiah akan dilepaskan oleh Ratchaburi FC dari Liga 1 Thailand
- Faiq adalah anak saudara Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dengan kekayaan dianggarkan AS$20 bilion
- Faiq memulakan karier bersama pasukan remaja Newbury sebelum ke akademi Southampton, Chelsea dan Leicester City, kemudian profesional dengan Marítimo dan berpindah ke Thailand