Pemain United mudah ‘koyak’, sukar terima kritikan – ten Hag

Pemain United mudah ‘koyak’, sukar terima kritikan – ten Hag


Sancho antara pemain dikendalikan Ten Hag. Foto Agensi

Erik ten Hag, bekas pengendali Manchester United, membangkitkan perdebatan hangat apabila menyifatkan generasi pemain bola sepak masa kini sebagai mudah ‘koyak’ dan sukar menerima kritikan berbanding eranya.

Dalam satu wawancara eksklusif, ten Hag mendedahkan perbezaan ketara antara pemain yang pernah dibimbingnya di Old Trafford dengan pemain zaman dahulu, sambil menyentuh isu konflik dengan bintang ternama seperti Cristiano Ronaldo dan Jadon Sancho.

“Generasi ini amat sensitif terhadap kritikan. Ia benar-benar memberi kesan kepada mereka.

“Generasi saya dahulu lebih kebal. Kami boleh berterus terang dan lebih tegas,” ujar ten Hag.

Beliau membandingkan pendekatan pengurusan Sir Alex Ferguson, yang terkenal dengan ketegasannya, dengan realiti pengurusan pemain masa kini.

“Sir Alex juga daripada generasi yang sama. Kami boleh berkomunikasi dan mendekati pemain dengan lebih langsung..

“Tetapi dengan generasi sekarang, anda perlu memilih perkataan dan pendekatan yang lebih bijak. Anda perlu tunjukkan lebih banyak ‘kasih sayang’,” jelasnya.

Ten Hag turut menceritakan pengalamannya mengendalikan Ronaldo, yang secara terbuka mengkritiknya dalam satu temu bual kontroversi, dan Sancho, yang membantah keputusan beliau menggugurkannya daripada skuad.

“Saya didekati dengan lebih langsung. Jika saya lakukan perkara yang sama dengan pemain sekarang, mereka akan hilang motivasi,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Ten Hag menegaskan beliau menikmati tempohnya di Manchester United, yang menyaksikan beliau memenangi Piala Liga dan Piala FA.

Malah beliau turut menyatakan penghargaan kepada penyokong-penyokong Manchester United atas sokongan mereka.

“Saya rasa dihargai oleh peminat Manchester United.

“Saya tidak merancang apa-apa sehingga Julai nanti,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top