PROJEK revolusi bola sepak negara tiba-tiba melonjak naik dengan pujian menggunung netizen bola sepak negara selepas tindakan drastik pengurusan Harimau Malaya membawa masuk lima lagi pemain warisan berasal dari Argentina, Sepanyol dan Brazil.
Kemasukan pemain-pemain yang dikatakan ‘Gred A’ ini menjadi faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan membenam Vietnam 4-0 pada aksi getir kelayakan Piala Asia 2027, sekali gus nyawa-nyawa ikan dan peluang terakhir untuk ke Arab Saudi semakin cerah.
Kejayaan itu juga seolah-olah merubah ‘trend’ perdebatan di pelbagai platform sosial media apabila membicarakan bab bolasepak ini. Sebelum kejayaan menumpaskan Vietnam ramai netizen yang masih ‘was-was’ dan mengambil sikap tunggu dan lihat hasilnya nanti.
Ternyata kehadiran pemain warisan baharu ini menjadi faktor pembolehubah utama kejayaan ke atas Vietnam itu. Bagaikan mendapat bekalan peluru, ibarat ‘pulang paku buah keras’ inilah reaksi pelbagai pihak berkepentingan dan netizen bola sepak kita.
Barang siapa yang menyatakan rasa kurang senang dengan kehadiran dan dominasi pemain warisan ini, tidak kira yang menyuarakan kerisauan itu adalah ‘legenda’ bola sepak negara atau sesiapa sahaja, bersedialah untuk menerima kritikan dan kecaman balas.
Bebas memaki dan mengecam sesiapa sahaja di sosial media ini seolah-olah hak peribadi. Sepatutnya kita menghormati dan meraikan perbezaan setiap pendapat. Namun seperti ‘lalang ditiup angin’, fahamilah, sekarang adalah waktu yang tidak sesuai.
Kita ketepikan pelbagai sentimen dan prasangka negatif dan persoalan-persoalan yang dilemparkan oleh netizen yang menuntut kesahihannya. Betul, sebagai warganegara sejati, netizen berhak untuk mengetahui kebenarannya.
Kelulusan berkaitan warganegara atau pemain warisan bukan bidang kuasa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Justeru kita harus percaya sepenuhnya kepada proses kelulusan yang telah diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Perkara 15 Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Luluskanlah dan bawalah seberapa ramai lagi pemain warisan untuk mewakili Harimau Malaya ini selagi ‘stok’ masih ada, ia tidak salah asalkan ada pertalian darah yang asli.
Perdebatan netizen di sosial media akhir-akhir ini agak emosi dan ada yang tidak tepat faktanya. Jangan ikut sedap jari dan berhati-hatilah dengan komen yang diberikan.
Antara komen-komen yang dapat saya kongsikan, antaranya, ‘Ala Juara Dunia, Perancis pun guna pemain asing’, ‘Kalau tak guna pemain asing Perancis tak mampu jadi juara dunia’. ‘Ala Negara Eropah pun banyak guna pemain asing’. Ini antara kenyataan yang tidak memahami fakta sebenar.
Sewaktu Perancis muncul juara dunia 2018 (menang ke atas Croatia 4-2), saya ingin bertanya, berapa ramaikah pemain asing dalam skuad Les Bleus?
Jangan hanya melihat kepada fizikal dan rupa paras mereka. Kesebelasan utama waktu final itu seperti Pogba, Kante, Mbappe, Blaise Matuidi, Olivier Giroud, Antoine Griezman dan lain-lain, mereka adalah rakyat dan warganegara Perancis, “mereka lahir di bumi Perancis”.
Mereka bukan lagi pemain asing. Keturunan mereka sahaja pendatang dari Guinea, Mali, Cameroon, Jerman, Itali dan Sepanyol. Kecuali seorang iaitu Samuel Umtiti yang lahir di Cameroon tetapi pada usia dua tahun mengikut keluarganya berpindah ke Lyon, Perancis.
Begitu juga dengan skuad ‘Les Blues’ 2006 yang kecundang di final Piala Dunia tewas kepada Itali seri 1-1 (tewas penalti 5-3). Antara pemain skuad ini Lilian Thuram (Guadeloupe), Patrick Viera (Senegal), Claude Makelele (Zaire@Congo), namun dari usia tujuh ke lapan tahun mereka sudah berpindah ke Perancis. Zinedine Zidane keturunan Algeria pula memang lahir di Perancis begitu juga Florent Malouda, Thierry Henry dan lain-lain.
Perancis sudah tidak perlukan pemain asing atau naturalisasi. Mereka adalah kuasa penjajah yang mempunyai lebih kurang 80 negara jajahannya. Perancis juga negara yang membenarkan ‘dual citizenship’. Kesemua mereka membesar di Perancis dan berbahasa ‘French’. Justeru fahami fakta ini dan jangan samakan kaedah warisan yang kita laksanakan sekarang dengan negara tersebut.
Pengunaan pemain warisan dan naturalisasi di Eropah mula digunakan pada Piala Dunia 1934. Tuan rumah Itali pada waktu itu menaturalisasikan beberapa pemain dari Argentina seperti Omar Sivori dan Raimundo Orsi hingga membolehkan Itali muncul juara dunia buat kali pertama menewaskan Czechoslovakia 2-1.
Sepanyol turut menaturalisasikan pemain termasuklah Ferenc Puskas, Juan Antonio dan Ladislav Kubala dari Hungary dan Diego Tristan dari Argentina.
Bagaimanapun kitaran pengunaan pemain warisan dan naturalisasi di Eropah sudah semakin kecil dan terlalu sedikit. Pada Piala Dunia Qatar 2022 sebanyak 13 negara Eropah layak beraksi.
Daripada sejumlah lebih kurang 390 pemain, hasil analisis statistik menunjukkan, 90 peratus adalah pemain kelahiran negara masing-masing.
Negara seperti Perancis, England, Jerman, Belanda, Portugal, Sepanyol, Serbia, Croatia dan Belgium hampir sepenuhnya adalah anak jati yang lahir di negara masing-masing.
Hanya Switzerland menggunakan berapa pemain naturalisasi manakala Wales (United Kingdom) mengunakan khidmat beberapa pemain yang lahir di England.
Justeru melihat kepada ‘trend’ naturalisasi dan warisan di Eropah ini maka jalan pintas itu kini bukan sesuatu yang menjadi keutamaan kepada mereka.
Pada akhirnya nanti peningkatan kualiti pemain yang menjadi teras utama bagi mengekalkan kelestarian, daya saing, keupayaan dan kehormatan sesebuah pasukan bolasepak itu.
*Datuk Dr Pekan Ramli ialah Penganalisis Sukan