KEHADIRAN pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya bukan sekadar memberi impak segera kepada prestasi pasukan, malah turut membuka mata dunia terhadap potensi sebenar bola sepak Malaysia.
Pemerhati bola sepak negara, Azlan Johar, berkata pemain warisan tersebut bukan sahaja meningkatkan kekuatan taktikal pasukan, tetapi juga mempercepatkan usaha Malaysia menempatkan diri dalam radar bola sepak antarabangsa.
Beliau juga percaya pemain yang mempunyai darah Malaysia ini akan membantu pasukan menempatkan diri dalam ranking lebih baik, sekali gus membuka peluang buat pemain tempatan beraksi di kelab Eropah.
“Kita nak letak nama Malaysia dalam perhatian dunia, dan inilah jalannya dengan kehadiran ramai pemain warisan. Kita kena terima hakikat bahawa pemain warisan mampu membantu pasukan meraih keputusan positif dan kejayaan.
“Apabila banyak keputusan positif, kita akan mencapai hasil yang cemerlang dalam pertandingan yang disertai. Malah, ranking FIFA kita juga semakin baik. Khususnya apabila berada di bawah kedudukan 70 atau 80 satu hari nanti, peluang pemain tempatan untuk beraksi di Eropah akan jadi lebih cerah.
“Kebanyakan liga di Eropah menetapkan syarat tertentu berdasarkan kedudukan ranking negara dalam FIFA sebagai penentu kelayakan pemain asing.
“Oleh itu, apabila Malaysia berjaya melonjakkan kedudukan ranking menerusi prestasi cemerlang pemain warisan dan tempatan, maka peluang seperti pemain bintang kita, Arif Aiman Hanapi, ke Eropah bermain dengan kelab terbaik tidak mustahil,” katanya kepada Sukan Sinar.
Sebelum ini, beberapa pemain warisan baharu telah menyarung jersi skuad Harimau Malaya yang ternyata memberi dimensi baharu kepada kekuatan pasukan kebangsaan dalam misi Kelayakan Piala Asia 2027.
Antara pemain warisan yang baharu menyertai skuad kendalian Peter Cklamovski ialah Gabriel Palmero, Hector Hevel, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Facundo Garces.
Gabungan tenaga tempatan dan pemain warisan itu membuahkan hasil apabila Malaysia mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas Vietnam dalam aksi Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus menamatkan penantian lebih sedekad untuk menundukkan seteru serantau itu.
Ia juga menandakan bahawa strategi memperkukuh skuad dengan pemain warisan mampu memberi kelebihan kepada Harimau Malaya dalam menghadapi cabaran lebih besar di peringkat Asia dan kemudiannya di pentas dunia.