Pemain warisan bukan sekadar tangkap muat

Pemain warisan bukan sekadar tangkap muat


Penampilan pertama Hector Hevel bersama Harimau Malaya meraih pujian peminat. Gambar kecil: Reduan.

KELOMPOK pemain warisan yang bakal mewarnai arena bola sepak negara biarlah benar-benar berkualiti dan bukan sekadar tangkap muat.

Legenda bola sepak negara, Reduan Abdullah bukan berniat menafikan langkah pihak tertentu untuk memperkuatkan skuad Harimau Malaya, namun berharap kualiti pemain tempatan tidak diabaikan.

Beliau berkata, andai tenaga tempatan lebih bagus berbanding pemain warisan di luar negara, biarlah anak jati diberi tempat dalam pasukan.

“Bagi pandangan saya, apa kelebihan kepada pemain warisan ini. Kalau macam ‘suam-suam kuku’, baik kita hantar pemain tempatan.

“Kita nak tengok kelebihan yang ada pada mereka (pemain warisan). Kalau kata dia pemain warisan, dia mesti baik daripada pemain tempatan.

“Kalau hanya biasa-biasa lebih baik kita ketengahkan kepada pemain tempatan, supaya mereka akan bermain lebih tinggi. Di mana akan datang kita tak perlukan pemain import (naturalisasi) atau warisan lagi,” katanya.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian jurulatih baharu, Peter Clakmovski dibarisi dua pemain warisan iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero.

Hevel bagaimanapun lebih menyerlah apabila tersenarai dalam 27 pemain pilihan jurulatih dari Australia itu.

Perancang kelahiran Belanda yang mewakili kelab Portugal, Portimonense itu beraksi cemerlang apabila meledak satu gol ketika membantu Malaysia mengalahkan Nepal 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Iskandar Puteri baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan tujuh pemain warisan baharu bakal memperkuatkan pasukan negara.

Perkembangan tersebut dikongsi Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menjadi nadi penting revolusi Harimau Malaya.



Source link

OR

Scroll to Top