Pemain warisan langkah lonjak prestasi Bunga Raya

Pemain warisan langkah lonjak prestasi Bunga Raya


Cobra naib juara Liga Ragbi MSNS-KRS 2025. FOTO: ROSLI TALIB

PENGENDALI pasukan ragbi Cobra, Wan Norsyahmi Wan Daud menyarankan agar perhatian serius diberikan untuk mengadaptasi penggunaan pemain warisan dalam usaha memperkukuh cabaran skuad ragbi kebangsaan pada masa depan.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, perubahan ekosistem sukan ragbi di rantau ini menyaksikan pesaing utama skuad Bunga Raya telah mula menggunakan pendekatan sedemikian demi meningkatkan prestasi di pentas antarabangsa.

“Jika kita mahu bersaing dengan negara-negara lain, kita perlu mempertimbangkan penglibatan pemain warisan atau naturalisasi seperti yang dilakukan oleh beberapa negara Asia Tenggara.

“Buktinya, ketika aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia menentang Sri Lanka pada April lalu, skuad Bunga Raya 7s mengalami kekangan apabila kita kekurangan pemain naturalisasi dari Fiji,” katanya selepas perlawanan akhir Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS)-Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) 2025 baru-baru ini.

Namun jelas Wan Norsyahmi, cabaran utama dalam pelaksanaan pendekatan ini ialah kebanyakan pemain warisan bukan merupakan atlet profesional sepenuh masa.

“Kebanyakan pemain-pemain ragbi ini terikat dengan komitmen kerja atau yang berhijrah di luar negara, saya melihat antara cabaran untuk kita merekrut mereka bagi menyarung jersi pasukan Bunga Raya,” katanya yang melihat United Kingdom (UK) sebagai potensi utama pencarian pemain warisan berkenaan.

Untuk rekod, harapan skuad negara untuk kekal dalam Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025 berkecai selepas tewas 19-59 kepada juara Divisyen Satu, Sri Lanka, dalam aksi playoff yang berlangsung di Stadium Racecourse, Colombo.

Kekalahan itu menyebabkan Malaysia gagal menempatkan diri dalam kelompok elit ragbi Asia dan terpaksa turun ke Divisyen Satu bagi saingan seterusnya.

Malaysia layak ke pusingan playoff selepas menamatkan kempen Divisyen Premier musim lalu di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sebelum ini mengesahkan bahawa badan induk itu sedang menjalankan usaha untuk mengenal pasti pemain warisan yang berpotensi bagi menyertai skuad kebangsaan pada masa depan.



Source link

OR

Scroll to Top