PETALING JAYA: Perubahan iklim dan pemanasan bumi menjadi faktor Malaysia berdepan fenomena cuaca tidak menentu dengan cuaca panas dan hujan lebat berubah secara mengejut sejak kebelakangan ini.
Pensyarah Kanan Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Irina Safitri Zen berkata, pola cuaca tidak menentu itu bukan sahaja disebabkan oleh peralihan monsun, malah turut dipengaruhi pemanasan global yang berpunca daripada aktiviti perindustrian.
Katanya, pemanasan global merujuk kepada peningkatan suhu purata bumi yang berlaku secara berterusan oleh beberapa faktor seperti penebangan hutan dan industri kilang yang membebaskan gas rumah hijau.
“Suhu permukaan bumi semakin meningkat akibat pelepasan gas rumah hijau yang tinggi, terutamanya daripada sektor tenaga, pengangkutan, dan pembandaran. Ini mempercepatkan kesan perubahan iklim termasuk peningkatan suhu ekstrem serta gangguan intensiti hujan.
“Pembakaran bahan api membebaskan karbon dioksida gas rumah hijau utama di samping penebangan hutan mengurangkan jumlah pokok yang menyerap karbon dioksida. Selain itu, proses pembakaran hutan juga melepaskan karbon dioksida itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula 25 Mac sehingga Mei depan sekaligus menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) sejak 5 November tahun lalu.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, sepanjang fasa peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.
Katanya, keadaan itu akan menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang lazimnya membawa kepada kejadian hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh singkat.
Dalam pada itu, Irina Safitri menekankan keperluan sistem amaran awal serta pemantauan berterusan melalui teknologi Internet untuk Segala-galanya (IoT), pemasangan sensor dan aplikasi amaran banjir bagi meningkatkan kewaspadaan penduduk di kawasan berisiko bencana banjir.
Katanya, pelaksanaan infrastruktur hijau sebagai langkah jangka panjang, termasuk pembinaan taman takungan air, sistem saliran mampan serta penanaman semula pokok bagi mengawal suhu dan mengurangkan kesan limpahan air hujan.
“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada sistem sedia ada. Kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu bertindak proaktif dengan memastikan sistem saliran tidak tersumbat dan melaksanakan pembersihan berkala,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan cuaca semasa, menghadkan aktiviti luar ketika suhu tinggi, serta menjaga kesihatan diri.
“Kita sedang berdepan dengan realiti perubahan iklim. Oleh itu, kesedaran dan kerjasama semua pihak sangat penting bagi meminimumkan impaknya kepada kehidupan harian dan keselamatan awam,” katanya.-UTUSAN