am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seorang pemandu bas persiaran didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan melakukan khianat terhadap kereta seorang wanita warga Taiwan, minggu lalu.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Nazri Elias, 38, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya.
Hidayatul Syuhada turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun, jika gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan cara memecahkan cermin sisi dan mencalarkan kereta Peugeot sehingga menyebabkan kerugian RM5,000 terhadap mangsa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 0.3 Jalan Pantai menuju ke Permas Jaya di sini, jam 9.05 malam, 20 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu (mangsa) membuat laporan polis selepas mendakwa ketika dia sedang memandu kereta dari pusat beli-belah Mid Valley menuju ke Taman Permas Jaya di sini, hendak menukar ke laluan tengah sebelum sebuah bas di belakangnya membunyikan hon yang panjang.
Pengadu telah menekan brek dan memberhentikan kereta di lorong kanan sebelum bas bertindak menghalang laluan.
Tertuduh telah turun dari bas dan datang ke pintu depan kereta pengadu dan cuba membukanya sebelum memukul cermin kereta dan tendang pintu depan kereta beberapa kali dan tertuduh naik ke atas bonet kereta pengadu dan pecahkan cermin besar kereta.
Tertuduh kemudian ditahan polis pada jam 5 petang, 23 Disember lalu di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Norfarahin Mohd Yazid dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memberitahu, lelaki itu sudah berkahwin, namun tidak mempunyai anak.
Katanya, isteri tertuduh tidak bekerja, manakala tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai pemandu bas dengan pendapatan RM50 sehari.
Timbalan Pendakwa Raya R Nevina memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd