mdroji@bh.com.my
Kuching: Seorang pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang wanita, Nurul Asikin Lan yang mayatnya ditemui reput di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini, 15 Disember lalu.
Tertuduh, Zakwan Mokhtar, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Sharifah Fatimah Azura Wan Ali.
Zakwan yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Sharifah Fatimah Azura kemudian menetapkan kes disebut semula pada 10 Februari selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Jean Siow Hung Hwei yang memohon satu tarikh baharu untuk laporan asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nurul Asikin Lan pada 14 Disember 2024, kira-kira jam 9.10 malam, di dalam longkang di sebelah Jalan Setia Raja, Tabuan, di sini.
Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada 30 tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang daripada dua belas sebatan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, Zakwan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat laporan palsu berhubung kehilangan Nurul Asikin.
Dia dijatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, dia didakwa membuat laporan palsu pada 6 Disember lalu selepas dia mengetahui satu hantaran yang tular Facebook yang mendakwa dia melarikan seorang wanita bernama Nurul Asikin Lan.
Dia membuat laporan itu di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur sebagai penafian kerana bimbangkan keselamatan dirinya.
Dalam laporan itu, tertuduh sebagai pemandu e-hailing mendakwa pada jam kira-kira jam 11 malam, 5 Disember 2024 dia membawa keluar seorang wanita bernama Asikin di Perumahan Darul Hana, Jalan Tun Salahudin, Petra Jaya, Kuching.
Dia turut mendakwa, wanita itu berjumpa dengan seorang lelaki kawan lamanya yang pengadu tidak kenali di luar sebuah kelab malam dan selepas lama menunggu dia mendakwa meninggalkan Asikin bersama lelaki dan terus balik ke rumah.
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati sebenarnya pada 5 Disember 2024, tertuduh membawa keluar Nurul Asikin di kawasan perumahan Darul Hana dengan menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna merah dan ke Unijaya, Kota Samarahan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh membunuh Nurul Asikin pada 6 Disember 2024 antara jam 8 hingga 9 pagi dan kemudian dia menjual barang kemas milik mangsa di sebuah kedai emas.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita dilaporkan hilang selama 10 hari sejak 5 Disember , sebelum mayatnya ditemui di Jalan Setia Raja di sini pada 14 Disember.
Susulan itu, seorang lelaki ditahan dan soal siasat yang dijalankan mendapati suspek mengaku melakukan pembunuhan itu kerana mahu mengambil barang kemas mangsa untuk digadai.
Ia bagi menampung perbelanjaannya menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Phnom Penh, 8 Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd