Leclerc didenda €10,000 oleh FIA kerana menggunakan ‘bahasa kasar’ semasa sidang akhbar selepas Grand Prix Mexico pada Ahad – Foto: Agensi
SÃO PAULO – Pemandu Formula 1 Charles Leclerc didenda €10,000 (AS$10,900) oleh badan pengelola sukan permotoran FIA kerana menggunakan ‘bahasa kasar’ semasa sidang akhbar selepas Grand Prix Mexico pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Para pegawai perlumbaan berkata, pemandu Ferrari itu dipanggil kerana penggunaan ‘bahasa kasar’ dalam sidang akhbar selepas perlumbaan yang menyaksikan beliau menduduki tempat ketiga.
“Dasar FIA memastikan, bahasa yang digunakan dalam forum awamnya, seperti sidang akhbar, memenuhi piawaian yang diterima umum untuk semua penonton dan siaran,” kata pegawai perlumbaan.
Pengurus perlumbaan berkata, Leclerc menggunakan ‘bahasa kasar’ ketika menjawab ‘soalan yang agak menjerat’ bertanyakan ‘apa yang kamu katakan kepada diri sendiri berkaitan detik penting menjelang akhir perlumbaan’.
“Sebagai respons, Leclerc menggunakan bahasa kasar sebagai gambaran tepat tentang apa yang difikirkan olehnya ketika itu. Leclerc segera menyedari kesilapannya dan meminta maaf.”
Juara dunia tiga kali Max Verstappen pada September dijatuhi hukuman khidmat masyarakat kerana menggunakan kata-kata kasar yang sama.
Leclerc ketika itu bercakap tentang satu insiden di mana dia membrek terlalu lewat di selekoh terakhir perlumbaan dan terpaksa membiarkan Lando Norris daripada pasukan McLaren memintasnya. – Bernama