Pemandu lori tidak mengaku salah punca nahas maut FRU

Pemandu lori tidak mengaku salah punca nahas maut FRU


am@hmetro.com.my

Teluk Intan: Pemandu lori muatan batu yang mengakibatkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terbunuh di Jalan Chikus–Sungai Lampam, di sini, pada Selasa lalu, didakwa dengan sembilan pertuduhan di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini.

Tertuduh, Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nur Hamizah Shaffiuddin bagi semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu lori jenis Hino bernombor pendaftaran AKL 4674, memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada sembilan penama sekitar jam 9.05 pagi, 13 Mei lalu di KM15, Jalan Sungai Manik, di daerah Hilir Perak.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian S. Perumal, 44; Mohd Roslan Abd Rahim, 46; Mohd Pozli Jaudin, 41; Nurit A.K. Pandak, 34; Amiruddin Zabri, 38; Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Akmal Muhamad, 35; Damarrulan Abdul Latif, 33; dan Akmal Wafi Annuar, 28.

Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun namun tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 namun tidak melebihi RM50,000.

Seksyen kesalahan itu turut memperuntukkan lesen memandu diendorskan untuk hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Francis Sinnappan.

Izzuddin Fakri menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan, selain memohon syarat tambahan dikenakan iaitu lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai di mahkamah serta perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap minggu.

Francis bagaimanapun memohon jaminan minimum dengan mengambil kira pendapatan tertuduh yang bujang dan tinggal di daerah Hilir Perak, sebagai pemandu lori sekitar RM2,000 sebulan, mempunyai sakit asma, selain menyatakan tertuduh akan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan itu dan menetapkan tarikh 17 Jun depan untuk sebutan semula kes, selain juga membenarkan syarat yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Selasa lalu, akhbar melaporkan sembilan anggota FRU meninggal dunia dalam kemalangan lori truk dinaiki mereka dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, di sini, dengan ia turut mengakibatkan lima anggota pasukan sama cedera parah manakala empat lagi cedera.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin dilapor berkata, pemandu lori muatan batu itu yang mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta dadah, ditahan pada hari kejadian itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top