IPOH: Pemandu trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Koperal Mohd. Harrisul Ikhsan Mohd. Mahabudin, 39, berkali-kali memohon maaf selepas mengetahui sembilan rakan sekerjanya maut dalam nahas di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam, Teluk Intan, Selasa lalu.
Isteri Mohd. Harrisul Ikhsan, Nor Ain Ahmad Hesam, 36, berkata, suaminya yang kini dirawat di Hospital Teluk Intan terdiam sebaik tersedar dan dimaklumkan akan nasib menimpa kesemua yang terkorban.
Katanya, Mohd. Harrisul Ikhsan mengakui berasa bertanggungjawab dan dihimpit perasaan bersalah sebagai individu yang memandu kenderaan itu semasa kejadian.
“Dia berulang kali menyalahkan dirinya. Dia rasa bertanggungjawab sebab dia yang memandu.
“Baharu kelmarin suami tahu rakan-rakannya telah tiada. Bila tahu, dia terdiam sekejap. Dia rasa bersalah dan ralat tapi saya pesan supaya jangan rasa bersalah.
“Dia buat panggilan video dengan Nizam (Koperal Nizam Tarmizi) dan minta maaf. Dia juga jumpa Zulnaidi (Koperal Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli) untuk minta maaf,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Dalam kejadian pukul 8.54 pagi itu, kenderaan yang membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam, Ipoh dirempuh lori muatan batu yang dikatakan mengalami kegagalan fungsi stereng.
Mereka yang terbunuh ialah Sarjan S. Perumal, 44; Sarjan Mohd. Roslan Abd. Rahim, 46; Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit ak Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Tambah Nor Ain, rakan-rakan sekerja suaminya memberi sokongan penuh dan menasihatkannya supaya tidak membebankan diri dengan perasaan bersalah.
“Ramai rakan yang hubungi suami dan beri dia sokongan. Mereka tidak menyalahkan dia dan faham keadaan sebenar,” katanya.
Ujarnya, suaminya yang mengalami kecederaan di kepala dan patah beberapa tulang rusuk tidak dapat mengingati situasi sebelum kemalangan.
“Dia cuma ingat dia yang memandu, kalau minta dia ingat semula kejadian pun dia tak boleh buat. Dia buka mata dan sedar sudah berada di hospital.
“Alhamdulillah, keadaannya semakin pulih. Dia sudah boleh berjalan sendiri untuk ke tandas,” katanya. – UTUSAN