Pemasangan kawat duri jenis CW bagi perkukuh kawalan keselamatan sempadan

Pemasangan kawat duri jenis CW bagi perkukuh kawalan keselamatan sempadan


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan, pemasangan kawat duri jenis Concertina Wire (CW) di 28 pangkalan haram di kawasan sempadan terus dijadikan antara elemen pencegahan utama bagi menghalang aktiviti penyeludupan dan

rentas sempadan secara haram.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemasangan itu memberi impak positif dalam meningkatkan kawalan fizikal dan mengehadkan pergerakan tidak sah di lokasi berisiko tinggi.

Katanya, bagi memastikan keberkesanan kawalan ini dapat dipertingkatkan, Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) turut mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan bagi kerja pemasangan serta penambahbaikan CW di pangkalan haram yang masih belum dipasang kawat berkenaan.

“Pihak kita mengesan terdapat beberapa lokasi yang mengalami kerosakan dipercayai akibat perbuatan khianat oleh penyeludup.

“Penyeludup dikesan bertindak memotong serta mengubah suai beberapa bahagian kawat duri bagi mewujudkan laluan haram baharu untuk tujuan rentas sempadan dan penyeludupan.

“Bagi menangani perkara itu, pemeriksaan berkala, rondaan pemantauan serta kerja-kerja penyelenggaraan sentiasa dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan sistem penghalang itu berada pada tahap optimum,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mencadangkan supaya pemasangan CW di beberapa lokasi kritikal dipercepatkan, selain penambahan penggunaan teknologi pemantauan seperti kamera litar tertutup (CCTV), dron serta aset pengawasan lain bagi memperkukuhkan lagi kawalan keselamatan sempadan negara secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Katanya, pihak polis melalui Briged Tenggara PGA akan terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam dengan penuh komited, profesional serta berintegriti demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara terus terpelihara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan di bawah peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kastam 1967, Akta Binatang 1953 dan Akta Bekalan 1961.

“Orang ramai diseru terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top