Pematuhan syarat PBT premis GISBH akan disemak

Pematuhan syarat PBT premis GISBH akan disemak


KUALA SELANGOR: Kerajaan Selangor akan membuat semakan ke atas semua premis dan kediaman Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sama ada mematuhi syarat dan garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sebaliknya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim berkata, semakan lanjut itu antaranya meliputi pematuhan kebenaran merancang (KM), Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan pembayaran cukai taksiran.

“Kita akan semak terlebih dahulu mengenai status premis dan kediaman GISBH di negeri ini.

“Langkah itu bagi mengenal pasti adakah mereka mematuhi peraturan ditetapkan oleh PBT atau tidak,” katanya pada program Rejuvenasi di Kampung Bagan Sungai Yu, Tanjong Karang di sini, pagi tadi.

Tambah Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, laporan mengenai pematuhan itu akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan terhadap fatwa yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor terhadap ajaran dan gerakan dalam GISBH.

Baginda bertitah, amalan, pegangan dan fahaman dalam syarikat itu sebagai sesat dan masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung dibawa  kumpulan Al–Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam.

Perincian fatwa itu akan diumumkan selepas melalui proses pewartaan bagi membolehkan penguatkuasaan dari segi tindakan undang-undang.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menitahkan proses tindakan lanjut berkaitan isu GISBH disegerakan dan mahu seluruh agensi agama Islam di Selangor bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pihak terlibat diheret ke mahkamah.

Sementara Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad pula memaklumkan pihaknya menahan 108 orang pengikut GISBH yang dipercayai mengamalkan Aurad Muhammadiyah. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top