Pematuhan syariah, halal di tahap sederhana

Pematuhan syariah, halal di tahap sederhana


PEMATUHAN syariah dalam industri penternakan merujuk kepada pelaksanaan operasi, amalan dan proses yang menepati prinsip-prinsip Islam seperti yang digariskan dalam al-Quran dan sunnah.

Dalam konteks ini, ia bermaksud memastikan setiap aspek penternakan bermula daripada pemeliharaan haiwan, pengendalian makanan ternakan, penyembelihan hingga logistik dan pemasaran perlu mematuhi hukum-hakam Islam.

Elemen seperti kebersihan, mengelakkan unsur haram dan mengekalkan nilai kesucian halal menjadi keutamaan sepanjang rantaian bekalan.

ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-88 surah al-Maidah: “Dan makanlah daripada apa yang telah ALLAH kurniakan kepada kamu yang halal lagi baik.”

Ayat ini menegaskan kepentingan memakan makanan yang halal dan baik, yang hanya boleh dicapai melalui pematuhan syariah dalam setiap aspek pengeluaran makanan termasuk penternakan.

Gangguan pematuhan syariah

Bagaimanapun berdasarkan kajian yang dijalankan untuk mengenalpasti faktor gangguan rantaian bekalan dalam industri penternakan, faktor tahap pematuhan syariah di Malaysia masih menjadi isu yang sering dibincangkan.

Antara isu utama yang menyumbang kepada gangguan pematuhan syariah ialah penyembelihan, pemakanan dan penjagaan.

HAIWAN yang telah disembelih mengikut syarak perlu disimpan di tempat bersih dan tidak bercampur dengan haiwan lain yang tidak disembelih atau haram. Foto Canva

Kajian mendapati purata keseluruhan pematuhan syariah mencatatkan purata faktor yang rendah.

Penemuan ini menunjukkan wujudnya kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh pihak industri, penternak dan kerajaan untuk memastikan piawaian halal dapat dipatuhi dengan lebih ketat.

Antara isu utama yang menyumbang kepada gangguan pematuhan syariah ialah isu sembelihan di mana ayam sembelihan mati disebabkan stuning atau bertindih, campuran organ sembelihan halal dengan yang tidak halal seperti hati ayam, tempat penyembelihan ayam dan babi yang bersebelahan dan juga proses sembelihan dilakukan oleh orang yang tidak bertauliah.

Terdapat juga isu pengurusan sisa haiwan ternakan yang mana pengurusan sisa sembelihan ayam tidak diuruskan dengan sempurna seperti perut dan bulu ayam.

Terdapat juga air celuran ayam yang kotor dibuang ke sekitaran dan darah sembelihan ayam dibuang terus ke sistem perparitan yang berdekatan.

Kajian jua mendapati, pengangkutan yang digunakan untuk membawa haiwan halal juga adakalanya digunakan untuk membawa haiwan tidak halal seterusnya menjadikan logistik tidak mematuhi prinsip halal.

Di dalam proses penternakan, selain situasi pengendalian haiwan, peralatan yang digunakan dalam proses penternakan dan penyembelihan juga turut menjadi kebimbangan.

Kajian yang dijalankan menunjukkan peralatan tersebut sering bercampur dengan unsur-unsur yang mencurigakan.

Situasi ini membangkitkan persoalan tentang kesedaran pengendali industri terhadap kepentingan mematuhi syariah sepenuhnya.

Lebih membimbangkan, bekalan yang disimpan di tempat tidak bersih dan bercampur dengan haiwan haram mencatatkan tahap kebersihan yang rendah.

Malah, kajian turut mendapati sesetengah penternak kurang mengambil berat terhadap perkara yang mencurigakan sepanjang proses penternakan itu berlangsung.

Pematuhan syariah memainkan peranan penting dalam industri penternakan:

1 – Pastikan kehalalan produk dihasilkan Ia memastikan kehalalan produk yang dihasilkan seperti daging dan susu serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Proses ini termasuk cara haiwan dipelihara, diberi makanan yang halal dan disembelih mengikut hukum Islam.

2 – Lindungi integriti industri penternakan sebagai makanan halal bertaraf antarabangsa Dengan memenuhi piawaian halal, Malaysia dapat mengukuhkan reputasinya di pasaran global khususnya di negara-negara Islam yang memerlukan sumber makanan halal.

ASPEK pemakanan haiwan penternakan turut diambil kira dalam pematuhan syariah industri penternakan. Foto Canva

ASPEK pemakanan haiwan penternakan turut diambil kira dalam pematuhan syariah industri penternakan. Foto Canva

3 – Membantu mengurangkan risiko pencemaran Amalan bercampur antara haiwan halal dan haram boleh menjejaskan status halal, bagaimanapun kawalan yang rapi mampu memastikan kebersihan dan keselamatan makanan.

4 – Menyokong pertumbuhan ekonomi halal Dalam konteks yang lebih luas, pematuhan syariah juga menyokong pertumbuhan ekonomi halal yang sedang berkembang pesat.

Industri penternakan yang mematuhi syariah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, sejajar dengan visi Malaysia untuk menjadi hab halal dunia.

Bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti, beberapa langkah penting perlu diambil:

1 – Kerajaan perlu memperketat penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian halal di semua peringkat rantaian bekalan, termasuk penyimpanan, pengangkutan dan penyembelihan.

2 – Penguatkuasaan peraturan ini perlu diiringi dengan program pendidikan dan kesedaran kepada penternak.

3 – Program latihan yang menyeluruh dapat membantu penternak memahami kepentingan pematuhan syariah dan akibatnya jika tidak dipatuhi.

4 – Proses pemantauan dan audit halal perlu dijalankan secara berkala untuk memastikan pengamal industri mematuhi standard yang ditetapkan.

5. Halal logistik juga harus diberi perhatian. Pengangkutan khas yang digunakan hanya untuk haiwan halal perlu diwujudkan bagi mengelakkan pencemaran.

6 – Penggunaan teknologi moden juga memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan syariah.

Teknologi seperti blockchain boleh digunakan untuk menjejak rantaian bekalan dan memastikan kehalalan setiap langkah dalam proses penternakan.

Kesimpulannya, pematuhan syariah dalam industri penternakan bukan sekadar tuntutan agama, tetapi menjadi elemen penting dalam membangunkan industri yang berintegriti dan mampan.

Dengan memastikan setiap aspek operasi memenuhi prinsip Islam, keperluan pengguna Muslim dapat dipenuhi dengan lebih baik.

Pada masa yang sama, reputasi Malaysia sebagai peneraju industri halal dapat diperkukuh di peringkat global.

Kerjasama antara kerajaan, industri dan penternak diperlukan untuk memastikan pematuhan syariah menjadi keutamaan dalam setiap langkah pembangunan sektor ini.

Dengan usaha bersama, industri penternakan Malaysia berpotensi menjadi contoh terbaik dalam mengukuhkan rantaian bekalan makanan halal untuk masa depan.

***DR NUR AMLYA ABD MAJID dan DR HASHIM AHMAD SHIYUTI merupakan Pensyarah Pusat Tamhidi, Universiti Sains Islam Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top