Pembangkang boleh sentuh isu 3R tapi jangan hasut – PM

Pembangkang boleh sentuh isu 3R tapi jangan hasut – PM


KUALA LUMPUR – Kerajaan menepis dakwaan pihak pembangkang di negara ini tidak dibenarkan menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, isu tersebut masih lagi dizinkan sekiranya ia diluahkan melalui platform yang sesuai dan membabitkan bantahan tertentu.

Namun tegas beliau, ia tidak dibolehkan apabila melibatkan hasutan atau ajakan selain menjurus ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum.

“Tentang pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ini timbul permasalahan kerana apabila bangkit semula isu keganaasan ala ISIS atau Al-Qaeda yang juga menyeludup masuk ke negara kita atau fahaman-fahaman yang sempit umpamanya 3R.

“Ada pembangkang yang mengatakan kita zalim kerana tidak membenarkan bicara tentang 3R, itu tidak betul. Kalau hendak bicara soal agama Islam atau agama lain, hendak bicara soal kaum, tidak puas hati hendak bantah, itu semua diizinkan.

“Yang tidak diizinkan ialah hasutan, ajakan ke arah keganasan atau menimbulkan pergaduhan antara kaum sebab apa pun alasan dan kalau pun saya diserang oleh media antarabangsa saya tidak akan tolak ansur untuk menjamin keselamatan rakyat dan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Hari Suhakam Ke-25 di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam ke-25 di KL Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 09 SEPTEMBER 2024.

Anwar turut menekankan bahaya sekiranya undang-undang terlalu longgar sehingga menyebabkan kemungkinan untuk mana-mana penguasa atau tokoh politik menyalahgunakannya untuk mempertahankan kedudukan mereka.

Maka sebab itu, jelas beliau, undang-undang harus diteliti untuk mengelak salah guna umpamanya ketika ini apabila isu pendakwaan yang melibatkan serangan atau singgungan terhadap raja-raja.

“Dalam majlis dengan Raja-Raja Melayu, mereka bangkitkan mereka bukan politik, mereka tidak terlibat dengan politik, mereka tidak mudah menjawab serangan setiap hari dan sekiranya kecaman itu dibuat yang akan menjejaskan tonggak Perlembagaan negara kita, maka tentunya tindakan harus diambil.

“Ini sudah disepakati, tidak ada parti dalam negara Malaysia yang akan mempertikai keperluan kita untuk tidak menghujat dan menggugat sistem raja di negara kita,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top