July 27, 2024

Pembangkang ucap takziah kepada Ismail Haniyeh

Pembangkang ucap takziah kepada Ismail Haniyeh


KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin telah menghubungi pemimpin utama Gerakan Hamas, Ismail Haniyeh untuk menyampaikan ucapan takziah.

Katanya, ucapan itu adalah bagi pihak Ahli Parlimen pembangkang dan seluruh ahli serta penyokong Perikatan Nasional (PN) susulan kesyahidan tiga anak lelakinya berserta empat cucu beliau pada hari pertama Aidilfitri, baru-baru ini.

Menerusi panggilan telefon hampir 15 minit itu, Hamzah berkata, beliau mengecam sekeras-kerasnya perlakuan jijik regim apartheid Israel dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia terhadap perjuangan suci rakyat Palestin.

“Walaupun berada jauh dari bumi Palestin, kami turut bersama merasai penderitaan dan keperitan rakyat Palestin dalam perjuangan menuntut hak serta kebenaran atas nama agama dan tanah air mereka.

“Sesungguhnya segala cabaran dan kesukaran yang kita alami di Malaysia adalah tidak seberapa berbanding apa yang ditempuhi oleh rakyat Palestin setiap hari.

“Saudara Ismail Haniyeh menegaskan bahawa kesyahidan ahli keluarga beliau dan setiap insan tidak berdosa dalam perjuangan suci itu tidak akan sesekali mematahkan semangat dan memadamkan api perjuangan rakyat Palestin.

“Mereka tidak akan berganjak walau seinci pun dan akan terus mempertahankan serta memperjuangkan hak mereka sehingga hembusan nafas yang terakhir,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Hamzah turut mengajak semua untuk terus berdoa kehadrat Allah SWT agar rakyat Palestin sentiasa dirahmati serta diberikan kecekalan dan kekuatan berdepan regim keji aparteid Israel yang biadap dan melampaui segala batas kemanusiaan. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top