Pembantu kedai runcit didakwa tetak lelaki guna parang

Pembantu kedai runcit didakwa tetak lelaki guna parang

Pembantu kedai runcit didakwa tetak lelaki guna parang


am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Seorang pembantu kedai runcit didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menetak seorang lelaki dalam kejadian di Flat Paya Nahu, dekat sini, bulan lalu.

Tertuduh, A Suriavarman, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nassri Abdullah, 36, dengan menggunakan parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Flat Paya Nahu 2, di sini, jam 3.55 petang pada 21 September lalu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi terutama mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan hanya berpendapatan RM1,500 sebulan serta perlu menjaga bapanya yang sakit dan tinggal seorang diri di rumah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tidak mengganggu saksi dan mangsa, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Hakim turut menetapkan 4 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan mangsa.

Pada 21 September lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an cedera di kaki dan tangan selepas ditetak seorang individu tidak dikenali ketika menunggu abangnya di kawasan flat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan maklumat saksi di lokasi kejadian, suspek berusia lingkungan 20-an itu dikatakan dalam keadaan mabuk sejak awal pagi.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan manakala suspek ditahan polis bagi membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top