September 8, 2024

Pembayaran progresif bantu atau bebankan pembeli?

Pembayaran progresif bantu atau bebankan pembeli?


PEMBELIAN rumah adalah satu langkah besar dalam kehidupan dan apabila membeli rumah yang masih dalam pembinaan atau under construction (undercon), pembeli perlu memahami kaedah sistem pembayaran yang terlibat iaitu pembayaran progresif.

Sistem ini bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan pembeli, tetapi juga memastikan pemaju terus komited menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan serta mengelakkan pembeli membayar lebih daripada yang sepatutnya.

Namun, masih ramai pembeli yang tidak faham mengapa pembayaran progresif perlu dibuat walaupun belum menerima kunci rumah.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Pengarah Penyelidikan Hartanah, Rahim & Co International Sdn. Bhd., Sr Sulaiman Saheh berkata, pembayaran progresif merupakan satu sistem di mana pembeli rumah membuat pembayaran secara berperingkat berdasarkan kemajuan pembinaan rumah tersebut.

Tegasnya, pembeli perlu memahami prosedur yang dilakukan semasa pembayaran dibuat oleh pihak bank (institusi kewangan pembeli membuat pinjaman) kepada pemaju hartanah.

“Bagi yang memohon pinjaman bank, mereka perlu faham bahawa sebaik sahaja proses pembiayaan atau pinjaman perumahan berjalan, pihak bank akan membuat pembayaran kepada pemaju mengikut peringkat-peringkat yang disebutkan di dalam Akta 118.

“Mereka akan mengikut tahap proses pembinaan rumah sehingga rumah itu siap dibina dan inilah yang dipanggil pembayaran progresif.

“Secara tidak langsung, pembeli juga sudah mula membayar faedah kepada pihak bank bagi pembayaran berperingkat atau pelepasan jumlah pinjaman rumah mereka mengikut peratus pinjaman yang dibayar oleh pihak bank kepada pemaju,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, sejurus sahaja rumah siap dibina, barulah pembeli perlu membayar prinsipal dan faedah pinjaman rumah seperti biasa.

“Sebagai contoh, selepas pembayaran oleh pembeli sebanyak 10 peratus pada peringkat perjanjian jual beli (S&P), jika rumah yang dibeli itu sudah dibina sehingga rangka konkrit berlantai, bank akan membayar sebanyak 25 peratus daripada jumlah pinjaman pembeli kepada pemaju.

“Bagi jumlah pembayaran dari jumlah pinjaman oleh bank itu, terdapat faedah yang perlu dibayar oleh pembeli kepada pihak bank dan seterusnya sehingga rumah siap dibina.

“Bagaimanapun, ia berbeza bagi orang yang membeli rumah ‘subsale’ yang tidak perlu menjalani proses pembayaran progresif ini,” katanya.

Tambahnya, pembayaran progresif dibahagikan kepada beberapa peringkat mengikut Jadual G atau Jadual H, Peraturan 11 (1) Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (atau lebih dikenali sebagai Akta 118) menurut jenis bangunan perumahan yang dijual.

Sementara itu, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr. Ishak Ismail berkata, pembayaran progresif memastikan pembeli mengurangkan risiko kerugian sekiranya projek terbengkalai atau tidak disiapkan mengikut perjanjian.

“Kaedah ini memberikan jaminan keselamatan dan ketenangan fikiran kepada pembeli hartanah dengan mengawal aliran wang secara berperingkat.

“Saya menganggap pembayaran berperingkat ini adalah faedah ditambah dengan jumlah sebenar yang disalurkan,” katanya.

Jelasnya, pemaju hartanah pernah memperkenalkan Skim Pembiayaan Faedah Pemaju (DIBS) pada 2009 untuk membantu pembeli rumah, namun kini tidak dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Dalam skim ini, pemaju menanggung bayaran faedah pinjaman bank untuk pembeli sepanjang tempoh pembinaan hartanah tersebut yang bermaksud pembeli tidak perlu membayar faedah atau ansuran bulanan sehingga hartanah tersebut siap dan diserahkan kepada pembeli.

“Bagaimanapun, harga rumah naik mendadak ketika itu disebabkan peningkatan permintaan sehingga kerajaan pada masa itu melalui BNM ingin mengawal dan menyejukkan pasaran.

“Tidak dinafikan bahawa DIBS membantu meningkatkan minat membeli rumah di kalangan pengguna, namun kesan sampingan akan meningkatkan aktiviti spekulasi.

“Seterusnya, meningkatkan gelembung pasaran hartanah. Tetapi, ia boleh diperkenalkan semula dengan kawalan yang lebih teratur,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top