Pembentangan RUU Pembaharuan Semula Bandar ditangguh – Ahmad Zahid

Pembentangan RUU Pembaharuan Semula Bandar ditangguh – Ahmad Zahid


suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang sepatutnya dibawa ke sesi Parlimen kali ini dibuat selepas mengambil kira 14 cadangan penambahbaikan melalui Konvensyen PSB, tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata hasil cadangan penambahbaikan itu adalah bagi memperkukuh PSB sebelum ia dibawa semula ke Parlimen pada sesi akan datang.

“Penangguhan itu dibuat kerana RUU yang ada perlu mengambil kira 14 saranan melalui konvensyen anjuran UMNO Wilayah.

“Ia turut disertai banyak badan bukan kerajaan (NGO), ahli perusahaan dan juga individu yang mahu memperkukuhkan PSB sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen dalam sidang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang.

Konvensyen PSB dilaksanakan Jawatankuasa Khas UMNO mengenai PSB pada 3 Oktober lalu.

Konvensyen terbabit mengesyorkan supaya kerajaan mempertimbangkan 14 cadangan khusus bagi menutup kelompangan dan kelemahan akta itu.

Antara 14 cadangan itu ialah tanggungjawab kerajaan memastikan kredibiliti pemaju; pampasan yang adil dan menyeluruh; penetapan nilai ambang persetujuan untuk pembangunan semula serta ketelusan penuh berkenaan insentif kerajaan.

Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya RUU PSB 2025 ditarik balik untuk ditambah baik sebelum dibentangkan semula di Parlimen.

Sementara itu, ketika berucap Ahmad Zahid berkata, Indonesia diminta untuk membuka lebih banyak ruang bagi membolehkan hasil karya tempatan khususnya penerbitan buku, lagu dan filem dari sini untuk menembusi pasaran negara itu.

Beliau mahu peluang dan ruang yang sama diberikan buat karya tempatan, seperti mana hasil seni dari Indonesia yang mudah dibawa ke negara ini.

Katanya, kubu itu harus dipecahkan bagi membolehkan kedua-dua negara berkongsi dan bertukar hasil karya atas semangat serumpun.

“Kita lihat dengan mudah buku daripada Indonesia dibawa masuk ke Malaysia. Kenapa buku dari Malaysia tidak boleh dibawa masuk ke Indonesia?

“Kalau lagu dari Indonesia boleh dibawa ke negara kita dan lagu kita boleh dibawa ke Indonesia. Ia mesti diberikan ruangan yang luas kepada artis Malaysia untuk merakam di Malaysia dan hasilnya itu diedarkan di seluruh Indonesia. Begitu juga filem.

“Kubu ini harus dipecahkan dan kita mesti membuka ruangan seluas-luasnya di dalam pertukaran ilmu ini,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, adalah penting bagi Malaysia dan Indonesia mewarisi nilai positif antaranya melalui hasil karya seni.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top