am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Kerja pembersihan sistem saliran tidak mengikuti standard ditetapkan menjadi punca pencemaran anak sungai hingga menyebabkan banyak ikan mati di Sungai Bekok.
Penemuan itu dibuat Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) yang menjalankan pemantauan terhadap sebuah kilang memproses najis ayam susulan laporan pelepasan najis ayam ke dalam parit yang menyebabkan gangguan anak sungai.
MDYP dalam kenyataan berkata, sebelum ini pihak sudah mengeluarkan arahan supaya sisa najis ayam tidak dilepaskan ke dalam sungai yang menjadi punca pencemaran.
“Walaupun tindakan itu diambil pihak syarikat tetapi masih tidak mengikut standard pembinaan kolam takungan supaya sisa tidak lepas ke dalam sungai.
“Sebanyak tujuh kali pemantauan dijalankan sejak 11 hingga 17 September di dua lokasi iaitu Jalan Labis-Yong Peng, Kampung Ngamarto dan Batu 18, Mukim Chaah Baru.
“Pemantauan berkala dilakukan pada pagi dan petang ketika kilang memproses dan menjual baja itu tidak beroperasi.
“Pemilik premis juga patuh notis dikeluarkan pada 8 September 2025 untuk menghentikan perniagaan serta merta,” katanya kenyataan itu.
Sebelum ini, penduduk mendakwa, lebih setan bangkai ikan ditemukan terapung di Sungai Bekok berpunca sisa najis dari ladang ternakan ayam yang memasuki sungai itu.
Pada masa masa, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan menemui alur air berwarna hitam serta berbau busuk yang disyaki punca pencemaran Sungai Bekok.
Ia berpunca daripada tapak penyimpanan najis ayam di sebuah ladang ternakan yang tidak dikawal selia dengan baik sehingga menyebabkan kacau ganggu awam dan mencemari air sungai.
© New Straits Times Press (M) Bhd