SHAH ALAM: Sebanyak 127 kontraktor diberikan tempoh selama tiga bulan bagi menyiapkan kerja pembinaan bilik darjah di sekolah berkepadatan tinggi di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jumlah itu meliputi 111 projek di Selangor diikuti tujuh di Perak, Pahang (3), Negeri Sembilan (3) dan masing-masing satu di Terengganu serta Pulau Pinang.
Katanya, keseluruhan projek melibatkan kos berjumlah RM88 juta dengan setiap sekolah diperuntukkan antara RM1 juta hingga RM2 juta mengikut bilangan bilik darjah.
“Kaedah yang digunakan adalah sistem binaan berindustri (IBS) dengan tempoh ketahanannya mencecah 15 tahun.
“Tiga bulan itu adalah tempoh yang telah kita kaji dan tiada tempoh lanjutan (EOT) diberikan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor di sini, hari ini.
Projek pembinaan melibatkan 121 sekolah itu bermula seawal minggu depan dan dijangka siap pada 30 Oktober ini.
Tambah Ahmad, pemberian projek dilaksanakan secara tender terbuka dan hampir 40 kontraktor memohon bagi satu kerja pembinaan.
“Kita telus dan pilih yang terbaik. Ada juga kontraktor yang baharu saja dapat tadi. Jadi, saya berharap jurutera daerah memberi panduan kepada kontraktor supaya melakukan terbaik dan menyiapkan mengikut masa ditetapkan dengan kualiti yang bagus,” ujarnya.