Pembinaan Jambatan Bailey akan disegerakan

Pembinaan Jambatan Bailey akan disegerakan


BAGAN DATUK: Jambatan Bailey akan dibina segera bagi menggantikan laluan yang terputus hubungan ekoran mendapan dan tanah runtuh susulan banjir yang berlaku di seluruh negara ketika ini.

Ia termasuk Jalan Gua Musang-Jeli di Kilometer 35 berdekatan Kampung Jerek menuju Jelawang yang ditutup kepada semua kenderaan berikutan berlaku mendapan tanah sepanjang 15 meter, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan jambatan Bailey itu akan dilaksanakan segera dalam tempoh 48 jam.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada penilaian struktur tanah terlebih dahulu bagi memastikan ia mampu menampung pembinaan infrastruktur tersebut.

“Terdapat beberapa jalan yang terputus hubungan dan kita memutuskan supaya jalan-jalan yang runtuh dibina dengan jambatan Bailey.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) mempunyai stok yang mencukupi untuk pembinaan jambatan Bailey di lokasi-lokasi yang terjejas.

“Dalam tempoh 48 jam, kita akan terus gerakkan aset ke kawasan yang terlibat. Ini pernah dilakukan apabila jambatan Bailey dibina dalam tempoh 72 jam bagi menghubungkan Segamat dan Rompin,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian program ‘One Stop Center’ Sejahtera Sosial Negeri Perak Daerah Bagan Datuk di Politeknik Bagan Datuk, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, pihaknya telah mengenal pasti tujuh lokasi di seluruh negara yang terputus jalan hubungan akibat banjir.

Katanya, lokasi-lokasi tersebut juga dicadang untuk pembinaan jambatan Bailey namun ia turut bergantung kepada penilaian struktur tanah.

“Saya akan meminta kerjasama Kor Jurutera Diraja dan pihak JKR negeri serta daerah untuk membuat tindakan segera kerana terdapat keperluan untuk menghantar bantuan dan juga proses menyelamat selain jangka panjang bagi kegunaan lalu lintas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, jambatan kekal akan dibina bagi menggantikan jambatan Bailey terutama jambatan kampung di kawasan jalan perhubungan desa.

“Kita tidak mahu apa yang pernah berlaku pada 2014 dahulu berulang di mana kesiapsiagaan ketika itu berada di peringkat yang agak rendah.

“10 tahun kemudian (tahun ini), kita sudah lakukan kesiapsiagaan di peringkat awal dengan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memberikan data seminggu lebih awal sebelum luruan dan taburan hujan itu bertambah.

“Tindakan pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) juga dilakukan lebih awal,” katanya.

Setakat pukul 5 petang ini, seramai 145, 897 mangsa daripada 43,701 keluarga terjejas banjir dipindahkan ke 673 PPS di sembilan negeri. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top