Pemenang pingat Olimpik, Fred digantung kerana pelanggaran anti-doping

Pemenang pingat Olimpik, Fred digantung kerana pelanggaran anti-doping


Los Angeles: Atlet pecut Amerika Syarikat, Fred Kerley yang juga pemenang dua pingat Olimpik acara 100 meter (m), digantung sementara selepas gagal memaklumkan keberadaannya kepada pegawai anti-doping, umum Unit Integriti Olahraga (AIU), semalam.

Kerley, yang meraih perak 100m di Olimpik Tokyo dan gangsa tahun lalu di Paris selain menjuarai acara itu di Kejohanan Dunia 2022, digantung kerana “gagal mematuhi kewajipan keberadaan di bawah peraturan anti-doping,” menurut kenyataan AIU.

Bagi atlet elit, terdapat syarat ketat untuk memaklumkan lokasi kepada pegawai anti-doping seperti ketika berada di kem latihan atau ketika dalam perjalanan ke mana-mana destinasi, termasuk menetapkan masa dan lokasi setiap hari bagi membolehkan ujian doping mengejut dijalankan.

Tiga kegagalan dalam tempoh setahun untuk mematuhi syarat itu termasuk terlepas ujian atau memberikan maklumat tidak tepat kepada agensi anti-doping boleh dikenakan hukuman.

Dalam hantaran di platform X, Kerley berkongsi surat minggu lalu yang menyatakan hasratnya untuk mencabar keputusan pelanggaran itu, dengan alasan satu atau lebih ujian yang terlepas sepatutnya diketepikan “sama ada kerana dia tidak cuai atau pegawai kawalan doping tidak melakukan usaha yang cukup untuk mengesannya di lokasi yang ditetapkan.”

“Fred tidak akan memberikan sebarang komen lanjut pada masa ini demi menghormati proses yang sedang berjalan dan berharap dapat mengemukakan kesnya kepada panel pendengaran yang dilantik,” menurut kenyataan itu.

Kerley, 30, pernah muncul juara Liga Berlian 2018 bagi acara 400m dan meraih tempat ketiga di Kejohanan Dunia 2019 sebelum menukar fokus kepada acara 100m.

Selepas menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelari Itali, Marcell Jacobs pada Olimpik Tokyo, Kerley meraih gelaran dunia di Eugene pada 2022 dengan catatan 9.76 saat, rekod peribadi terbaiknya, sebelum menambah pingat gangsa Olimpik tahun lalu di Paris.

Penggantungan sementara ini menambah kekusutan kempen 2025 buat Kerley, yang menarik diri daripada Kejohanan Kebangsaan AS dua minggu lalu sekali gus menamatkan harapannya untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Tokyo, September depan.

Kerley turut ditahan di Miami pada awal Mei lalu selepas terbabit dalam pertengkaran di hotel rasmi atlet yang menyertai Grand Slam Track, siri baharu yang dilancarkan oleh bekas juara dunia, Michael Johnson, tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top