sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Kerajaan Pahang menzahirkan dukacita dengan pemergian pesilat berbakat, Muhammad Adha Isqandar Mohammad Haydir yang maut dalam kemalangan, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata pemergian Allahyarham Muhammad Adha satu kehilangan besar buat sukan Pahang khususnya silat.
“Satu kehilangan besar bukan sahaja sukan silat, tetapi Pahang kehilangan atlet yang cukup berpotensi seperti Muhammad Adha Iskandar.
“Pada masa sama, saya harap Nur Syukrina Adawiyah Mat Saidi, 19 yang parah cepat pulih dan kembali menjalani latihan.
“Bagi pihak kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, saya menzahirkan rasa simpati kepada kedua-dua keluarga pesilat,” katanya.
Setiausaha Agung Pesaka Pahang, Datuk Osman Nok berkata, Allahyarham Muhammad Adha antara pesilat berpotensi untuk meraih pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Kemalangan berlaku apabila Muhammad Adha Isqandar yang menunggang motosikal terlanggar pacuan empat roda yang diparkir di lorong kecemasan di Kilometer 204.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, 11.30 malam kelmarin.
© New Straits Times Press (M) Bhd






