Pemilihan MOM: Pilih pemimpin berwawasan, bukan sekadar popular

Pemilihan MOM: Pilih pemimpin berwawasan, bukan sekadar popular


AHLI gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) perlu membuat pilihan bijak dalam pemilihan kepimpinan baharu badan induk itu bagi penggal 2025–2029.

Penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa menegaskan bahawa proses pemilihan kali ini tidak boleh lagi bergantung kepada faktor populariti semata-mata.

Sebaliknya, beliau menuntut agar calon yang dipilih memiliki integriti tinggi, rekod pencapaian yang terbukti, serta visi jelas untuk memperkasa dan memajukan landskap sukan negara secara menyeluruh.

“Kita tidak lagi berada dalam era di mana populariti menjadi tiket utama untuk menerajui organisasi penting seperti MOM.

“Yang diperlukan adalah kepimpinan berwibawa, berpengalaman serta berani membawa pembaharuan,” ujar Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Menurut beliau, pemimpin MOM yang baharu perlu mampu memahami realiti semasa sukan negara termasuk keperluan untuk membina ekosistem yang inklusif dan mampan, di samping mengimbangi tuntutan pembangunan prestasi tinggi dengan pembangunan akar umbi.

“Pilihan yang dibuat pada pemilihan ini bukan sekadar menentukan siapa yang menjadi peneraju, tetapi akan memberi kesan langsung kepada hala tuju sukan negara untuk tempoh empat hingga lapan tahun akan datang,” tegasnya.

Pemilihan barisan Ahli Lembaga Eksekutif MOM untuk penggal baharu dijadual berlangsung pada hari ini di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Justeru Sadek berharap, pemegang undi diseru untuk membuat pilihan yang mampu melonjakkan martabat MOM bukan sekadar sebagai penyelaras kontinjen, tetapi sebagai pencetus pembaharuan.

Selepas Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menang tanpa bertanding buat penggal ketiga berturut-turut bagi jawatan Presiden, tumpuan kini terarah kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Pemilihan kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden antara Naib Presiden MOM yang juga Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad dan Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, susulan keputusan penyandang jawatan, Tan Sri Hamidin Mohd Amin untuk tidak mempertahankannya.

Bagi jawatan Naib Presiden pula, lima calon lelaki bakal bersaing iaitu Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan; Presiden Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli; Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro; dan Presiden Taekwondo Malaysia (WTF), Azizul Anuar Adenan.

Dua tokoh wanita turut dicalonkan bagi jawatan naib presiden wanita iaitu bekas ratu pecut negara, Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, dan Penolong Setiausaha MAS, Nurul Huda Abdullah, yang juga bekas ratu renang kebangsaan.



Source link

OR

Scroll to Top