Tunku Mahkota Ismail. – Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa proses pemilihan pemain warisan untuk mewakili skuad Harimau Malaya dilakukan mengikut perlembagaan dan mendapat kelulusan kerajaan.
Baginda mendedahkan bahawa lebih 20 pemain berdarah campuran pernah dikemukakan bagi mendapatkan kerakyatan Malaysia untuk menyarung jersi kebangsaan, namun hanya tujuh daripada mereka diluluskan oleh kerajaan.
“Saya fikir jaringannya besar, ramai pemain yang dicadangkan. Ada sekitar 28 pemain, namun hanya tujuh yang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) luluskan,” titah baginda pada sidang akhbar pada Sabtu.
Tunku Mahkota Ismail turut menjelaskan bahawa cadangan pemain warisan berkenaan datang daripada pelbagai pihak, termasuk 16 hingga 17 ejen bola sepak yang mengemukakan nama pemain masing-masing untuk dinilai.
“Terus terang saya katakan, demi kepentingan pasukan kebangsaan, saya tidak kisah dari mana asal mereka. Sama ada dari Afrika atau Antartika yang penting mereka ada darah Malaysia dan boleh membantu pasukan kebangsaan.
“Saya tidak rasa perlu untuk menyemak secara terperinci kerana hal itu di bawah tanggungjawab kerajaan. Jika kerajaan kata seseorang pemain tidak layak, maka kita terpaksa terima keputusan tersebut,” titah baginda lagi.
Tambah baginda, daripada 27 hingga 28 nama yang dicadangkan kepada kerajaan, hanya tujuh pemain disahkan layak dan diluluskan oleh FIFA untuk beraksi dalam perlawanan pertama dan kedua skuad Harimau Malaya.
Ringkasan AI
- Pemangku Sultan Johor menegaskan pemilihan pemain warisan bagi skuad Harimau Malaya mengikut perlembagaan dan kelulusan kerajaan
- Lebih 20 pemain berdarah campuran pernah dikemukakan untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia, tujuh daripadanya diluluskan
- Sebanyak 28 pemain dicadangkan, namun hanya tujuh diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara
- Cadangan pemain datang daripada pelbagai pihak termasuk ejen bola sepak
- Hanya tujuh pemain daripada 27 hingga 28 nama yang dicadangkan kepada kerajaan disahkan layak dan diluluskan oleh FIFA






