Sepang: Pemimpin dan delegasi negara serantau berlepas pulang malam ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir hari ini.
Antara yang berlepas pulang ialah Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh serta Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr.
Mereka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas diberikan upacara pelepasan pulang dengan hamparan permaidani merah dan kawalan kehormatan terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Pesawat khas yang membawa Manet berlepas pada 5.35 petang dari Kompleks Bunga Raya, KLIA dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad hadir bagi mengucapkan selamat jalan kepada beliau dan delegasi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pula mengucapkan selamat jalan kepada Wong yang berlepas menaiki pesawat komersial dari Terminal 1 KLIA pada 8.30 malam.
Perdana Menteri Vietnam pulang ke tanah airnya dengan menaiki pesawat khas pada 8.30 malam, dengan diiringi Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh yang mengucapkan selamat jalan kepada Pham.
Sementara itu, pesawat yang membawa Presiden Marcos Jr dan delegasi berlepas pada 11 malam di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said hadir bagi mengucapkan selamat jalan.
Presiden Timor-Leste José Ramos-Horta pula dijadualkan pulang pada 1.30 pagi ini.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selama tiga hari yang melabuhkan tirai hari ini melakar beberapa pencapaian termasuk penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ke-11 blok serantau itu dan pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja.
Ini kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan Filipina akan menggalas tanggungjawab itu tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd





